50 ejen tutup ‘fail nikah’ di Thailand kerana Pe­rintah Kawalan Pergerakan

50 ejen tutup ‘fail nikah’ di Thailand

KIRA-KIRA 50 ejen terpaksa menutup ‘fail nikah’ di Thailand berikutan la­rangan rentas daerah dan negeri pada sepanjang tempoh PKP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kira-kira 50 ejen yang menyediakan khidmat me­ngurus pernikahan di Thailand yang beroperasi di nege­ri ini serta Perlis mendakwa me­reka hilang pendapatan sejak Pe­rintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu.

Ejen terbabit mendakwa me­reka terpaksa menutup ‘fail nikah’ di Thailand berikutan la­rangan rentas daerah dan negeri pada sepanjang tempoh PKP.

Pada masa sama, pintu sempadan Malaysia dan Thailand di Kedah serta Perlis juga ditutup aki­bat pandemik Covid-19 sehingga menyukarkan mereka meneruskan perkhidmatan tersebut.

Antara lokasi yang menjadi tumpuan ejen tersebut membawa pasangan untuk bernikah di negara jiran itu ialah Songkhla, Satun, Pattani, Yala dan Narathiwat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang ejen yang mahu dikenali sebagai Muhammad berkata, dia mampu meraih pendapatan antara RM10,000 hingga RM15,000 sebulan me­lalui perkhidmatan membawa pasangan bernikah di Thailand sebelum tercetus pandemik Covid-19.

Menurutnya, pakej perkhidmatan yang ditawarkan itu berharga antara RM1,500 hingga RM3,000 bagi setiap pasangan.

Katanya, pasangan berkenaan menawarkan pakej nikah tersebut termasuk kemudahan hotel untuk ‘berbulan madu’.

“Kebiasaannya saya akan membawa pasangan terbabit bernikah di Songkhla dengan menggunakan jurunikah yang ditauliahkan oleh kerajaan Thailand.

“Di Songkhla sahaja terdapat seramai enam jurunikah bertauliah yang menjadi pilihan ejen untuk membawa pasangan dari Malaysia bernikah,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Bagaimanapun Muhammad memberitahu, beberapa rakan­nya yang menjadi ejen berke­naan memperoleh pendapatan lebih lumayan sehingga men­cecah RM50,000 sebulan.

“Dalam tempoh sehari sahaja, terdapat ejen yang membawa sebanyak lima hingga 10 pasangan dengan menawarkan harga pakej yang lebih tinggi,” jelasnya.

Seorang lagi ejen yang mahu dikenali Ramli berkata, dia difahamkan terdapat ejen yang dipercayai menawarkan khidmat menguruskan pernikahan secara dalam talian dengan menggunakan jurunikah dari Thailand sejak PKP 1.0 lalu.

Bagaimanapun, katanya, per­khidmatan tersebut difahamkan berikutan pintu sempadan Malaysia dan Thailand masih ditutup.

Jelasnya, difahamkan pasa­ngan dari Malaysia itu tidak perlu memasuki negara jiran tersebut untuk urusan pernikahan mereka, sebaliknya hanya perlu hadir di lokasi tertentu di negeri ini dan Perlis.

“Segelintir pasangan tersebut bersetuju menggunakan per­khid­matan jurunikah dalam ta­lian walaupun dikenakan baya­ran yang agak tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN