JOHOR BAHRU: Tempat tinggal jauh dari Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor (Persada) menjadi alasan seramai 3,451 individu tidak hadir janji temu bagi mendapatkan vaksin AstraZeneca di PPV Mega itu.
Ketua Penyelaras PPV Mega Persada, Zainal Eran berkata, alasan lain yang diberikan individu yang tidak hadir itu adalah ada urusan kerja tidak dapat dielakkan serta mengalami masalah kesihatan.
Beliau berkata, jumlah mereka yang tidak dapat hadir mendapatkan vaksin itu bukanlah perkara membimbangkan dan hanya melibatkan peratusan yang kecil iaitu kira-kira enam peratus.
“Sejak dibuka pada 7 Jun lalu sehingga semalam, seramai 56,974 individu telah hadir ke PPV Mega Persada bagi mendapatkan suntikan dos pertama vaksin AstraZeneca.
“Kita berharap peratusan kehadiran orang ramai bagi memenuhi janji temu pengambilan vaksin Covid-19 meningkat kepada 95 peratus daripada sasaran 133,000 individu pada 27 Julai ini,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Zainal berkata, individu yang terlepas sesi janji temu boleh membuat permohonan baharu dan memilih PPV berhampiran bagi memudahkan pergerakan mendapatkan perlindungan vaksin.
Katanya, PPV Mega Persada yang dibuka selama 50 hari itu sentiasa meningkatkan kualiti perkhidmatan sambil dibantu pelbagai agensi penguat kuasa dalam memberikan keselesaan kepada pengunjung.
“Kita ambil pengajaran masalah yang dilalui di PPV lain seperti penerima vaksin terpaksa menunggu lama dan berlaku kesesakan di PPV. Kita hanya membenarkan mereka masuk setelah mendapati mereka datang dalam tempoh masa diberikan bukannya terlalu awal,” katanya.
Antara agensi penguatkuasaan yang terlibat adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dibantu oleh para sukarelawan.
PPV Mega Persada beroperasi setiap hari iaitu bermula 8 pagi hingga 9 malam pada hari biasa manakala bagi hari minggu dari 8 pagi hingga 5 petang.