PETALING JAYA: Polis menumpaskan satu kegiatan aktiviti perjudian dalam talian selepas menyerbu sebuah kondominium di Jalan Stonor dekat sini semalam.
Dalam operasi yang dijalankan kira-kira pukul 4 petang oleh sepasukan anggota Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, 28 individu termasuk empat warga China ditahan.
Timbalan Ketua JSJ Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, kesemua mereka berusia antara 17 hingga 53 tahun itu ditahan selepas disyaki terbabit mengurus dan mengendalikan aktiviti perjudian dalam talian berkenaan.
Jelas beliau, hasil serbuan itu juga, sebanyak 35 telefon bimbit dan pelbagai barangan seperti, komputer (15 unit), komputer riba (lapan unit), modem (empat unit) dan kad akses (satu) turut dirampas bagi siasatan lanjut.
“Siasatan mendapati aktiviti perjudian itu aktif sejak dua minggu lalu manakala suspek dibayar gaji RM2,000 sebulan.
“Suspek juga menyewa unit rumah di kondominium itu dengan bayaran RM10,000 sebulan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) dan 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953, selain Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.