PUTRAJAYA: Seramai 237 warga emas hadir secara walk in menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sekitar Lembah Klang, hari ini.
Kementerian Kesihatan memaklumkan, sambutan yang diterima pada hari kedua kaedah pemberian vaksin untuk individu berumur 60 ke atas itu amat menggalakkan.
Menurutnya, rekod di PPV Stadium Nasional Bukit Jalil sehingga pukul 3 petang tadi menunjukkan sejumlah 60 orang warga emas hadir untuk menerima vaksinasi.
“Di PPV Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC) Seri Kembangan pula merekodkan sejumlah 54 orang hadir mendapatkan vaksinasi.
“Sejumlah 78 orang warga emas pula hadir di PPV 360 Setia EcoHill. Kemas kini pada masa sama juga mendapati di PPV Mewah Club sejumlah 45 orang hadir mendapatkan vaksinasi,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook hari ini.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba mengumumkan penduduk Lembah Klang yang berusia 60 tahun ke atas dan masih belum lagi menerima vaksin Covid-19 dibenarkan datang secara walk-in atau tanpa janji temu.
Lokaliti berkenaan dipilih sebagai perintis sebelum inisiatif tersebut diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat.
Di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), warga emas berumur lebih 60 tahun dimasukkan dalam Fasa 2 bermula sejak April lalu dan sepatutnya tamat bulan depan.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) menyasarkan dalam fasa ini 9.4 juta orang meliputi warga emas, golongan penyakit berisiko tinggi dan orang kurang upaya (OKU).
Setakat ini hanya 2,478,289 warga emas di seluruh negara sudah menerima dos pertama daripada keseluruhan yang berdaftar iaitu 2,988,678 orang, manakala mereka yang sudah ada janji temu vaksinasi pula seramai 300,565 orang.
Adham turut memberi jaminan, bekalan adalah mencukupi di kesemua 47 pusat pemberian vaksin (PPV) di Selangor dan 12 lagi di Kuala Lumpur bagi memenuhi keperluan warga emas. – UTUSAN