TANJUNG MALIM: Sebanyak 76 kompaun dikeluarkan dan 21 premis diarah tutup setelah didapati beroperasi tanpa kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sejak 1 Jun lalu hingga semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kompaun tersebut dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 6,379 buah kilang di kawasan perkilangan dan perindustrian di seluruh negeri.
“Berdasarkan pemeriksaan, kilang-kilang itu mempunyai surat kebenaran beroperasi daripada MITI namun setelah semakan dilakukan, perakuan semasa memohon adalah berbeza dengan jenis perniagaan yang dijalankan.
“Oleh itu, kesemua kilang yang ingkar kepada SOP telah dikompaun dan diarah tutup oleh MITI,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyertai Op Patuh: Tim Pemantau Bersepadu Ketua Polis Perak di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim, di sini hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai operasi yang dijalankan hari ini, beliau berkata, sebanyak sepuluh buah kilang diperiksa membabitkan daerah Muallim, Perak Tengah dan Kampar.
Katanya, daripada pemeriksaan itu, tujuh kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan iaitu satu kompaun kerana majikan gagal memastikan jarak fizikal katil pekerja manakala empat kompaun atas kesalahan tidak melakukan imbasan MySejahtera dan dua kompaun kerana tidak memakai pelitup muka.
“Berdasarkan pemantauan, kita dapati peratusan pematuhan orang ramai terhadap SOP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memerangi Covid-19 adalah sebanyak 97 peratus.
“Kita berharap agar peratusan tersebut akan terus tinggi di mana pasukan-pasukan pemantau akan terus melaksanakan penguatkuasaan bagi memastikan masyarakat di Perak patuh kepada SOP,” katanya. – UTUSAN










