JERANTUT: Seramai 203 orang peserta ibadah korban kalangan ahli kariah Masjid Tengku Mahkota Abdullah (MTMAJ) bandar Jerantut dan 28 petugas melapah serta mengagihkan daging ternakan mengambil ujian calitan secara ‘pandu lalu’ di pekarangan masjid tersebut hari ini.
Imam Satu MTMAJ, Mohd. Fikri Hamzah berkata, pengurusan masjid dan Jabatan Kesihatan Jerantut membuat persediaan rapi khususnya jaminan kesihatan peserta ibadah korban serta petugas supaya terhindar daripada ancaman pandemik Covid-19.
“Pihak pengurusan masjid ini mematuhi peraturan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) supaya mereka yang terlibat dengan majlis berkenaan perlu menjalani ujian calitan dikendalikan petugas Jabatan Kesihatan Jerantut selari dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk prosedur operasi standard (SOP), etika kebersihan dan sebagainya.
“Kita juga memperoleh kebenaran daripada JAIP untuk menganjurkan majlis korban ini di samping mematuhi amalan SOP semasa berada di dalam dan luar (pekarangan) rumah ibadah ini menerusi pemantauan pegawai masjid serta dibantu oleh pihak berkuasa beruniform,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Fikri, majlis korban ahli kariah MTMAJ akan dilaksanakan pada hari raya kedua Aidiladha membabitkan sejumlah lapan ekor ternakan.
“Ternakan berkenaan akan disembelih di Rumah Sembelih Batu Satu, Jalan Jerantut – Benta dan kemudiannya dibawa ke MTMAJ untuk dilapah serta kerja pengagihan daging dilakukan oleh seramai 28 orang petugas,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 84 orang peserta ibadah korban ahli kariah masjid Felda Padang Piol dan 16 orang ahli kariah masjid Felda Lepar Utara juga menjalani ujian swab di MTMAJ hari ini.
“Pihak pengurusan masjid dan ahli kariah yang terlibat amat bersyukur dan berterima kasih kepada petugas Jabatan Kesihatan Jerantut dan pihak berkuasa beruniform yang menyempurnakan tugas dengan lancar sambil berharap mereka dilindungi oleh Allah SWT dan menerima ganjaran yang besar,” katanya.










