18 warga China ditahan terlibat sindiket Love Scam - Utusan Malaysia

18 warga China ditahan terlibat sindiket Love Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis memberkas 14 lelaki dan empat wanita warga negara China dipercayai terlibat dalam penipuan dalam talian, Love Scam dalam beberapa serbuan di sekitar ibu negara menerusi Op Pelican, semalam.

Serbuan kira-kira pukul 5.30 petang semalam dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) dan Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur mensasarian kondominium mewah dan dilengkapi sistem kawalan keselamatan ketat sebagai tempat aktiviti penipuan mereka.

Op Pelican dilakukan selepas polis menerima maklumat sekumpulan warga asing bergerak secara mencurigakan dalam kawasan kondominium berkenaan.

Pengarah JIPS, Datuk Azri Ahmad berkata, siasatan mendapati premis yang dijadikan pusat panggilan untuk aktiviti penipuan dalam talian yang mula bergiat aktif sejak dua bulan lalu.

Katanya, sindiket ini turut menyasarkan mangsa dari China.

“Sindiket dipercayai mengaut keuntungan dianggarkan RM300,000 sebulan.

“Kita turut merampas wang tunai dalam pelbagai mata wang berjumlah hampir RM126,000, komputer riba, telefon bimbit, satu tablet, modem, buku skrip nota perbualan panggilan untuk penipuan, 24 kad ATM dan alat pengesan TAC,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azri, pihaknya turut menyiasat sama ada wujud penglibatan pegawai atau anggota polis.

Ujarnya, semua individu yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Kesiksaan dan Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN