1,405 kompaun dikeluar sepanjang PKPD di Selangor - Utusan Malaysia

1,405 kompaun dikeluar sepanjang PKPD di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebanyak 1,405 kompaun dikeluarkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan pada 3 Julai lalu di negeri ini membabitkan pelbagai kesalahan.

Kebanyakan individu dikompaun melakukan kesalahan seperti tidak memakai pelitup muka, gagal mendaftar atau mengimbas kod QR aplikasi MySejahtera dan tidak mematuhi peraturan penjarakan sosial.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed memaklumkan, polis turut mengeluarkan 266 kompaun dalam Operasi (Op) Patuh dalam 7,922 pemeriksaan di kawasan perindustrian melibatkan kilang dan premis perniagaan.

“Bagi memastikan premis terutama kawasan perindustrian mematuhi SOP, sebanyak 7,922 pemeriksaan dilakukan, sebahagian besarnya adalah di kilang-kilang dan juga premis perniagaan,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Daripada pemeriksaan itu, beliau turut memaklumkan terdapat beberapa kilang yang tidak mendapat kebenaran untuk beroperasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Namun, Arjunaidi menjelaskan, pihaknya tidak boleh mengarahkan kilang berkenaan ditutup sebaliknya memberitahu, arahan itu perlu dilakukan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) atau pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Ada juga yang mengisytiharkan sebagai sektor perlu kepada MITI, namun hakikatnya mereka menjalankan aktiviti lain daripada dibenarkan. Kilang yang diarah tutup, bukan di bawah polis, sebaliknya KKM atau PBT,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan isu pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kilang Top Glove di Meru, Selangor melibatkan pekerja warga yang dipindahkan dari Petaling Jaya ke beberapa buah hotel di kawasan kilang.

“Berkenaan kilang Top Glove ada beberapa isu, salah satunya adalah 1,606 pekerja yang dibawa dari asrama di Petaling Jaya, iaitu sebelum daripada bermulanya PKPD bersasar di kawasan berkenaan.

“Kedua, berkenaan kilang-kilang yang dikatakan terus beroperasi, polis membawa perkara ini berbincang dengan pihak Pegawai Daerah yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bencana daerah dan hasil perbincangan mereka mengeluarkan arahan penutupan operasi kilang berkenaan serta merta.

“Kita juga dalam masa sama menjalankan siasatan ke atas syarikat berkenaan di bawah 270 Kanun Keseksaan diatas tindakan memindahkan pekerja ke lapan buah hotel yang dikenalpasti dan kita melarang mereka daripada keluar serta menjalankan saringan ke atas semua 1,606 pekerja,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN