PETALING JAYA: Polis menahan sebanyak 12 individu dipercayai terlibat dalam perjudian dalam talian di sebuah kondominium di Sri Petaling dekat sini, semalam.
Kesemua suspek berusia 19 tahun hingga 25 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2 petang itu dijalankan sepasukan polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, tangkapan terdiri daripada 10 lelaki dan dua wanita dan kesemua mereka adalah warga tempatan.
Katanya, semasa serbuan, pihaknya mendapati terdapat peralatan komputer riba dan telefon bimbit yang disyaki digunakan untuk menjalankan akitiviti perjudian.
“Analisis pakar judi ke atas peralatan-peralatan yang ditemukan dalam rumah tersebut mendapati wujud unsur-unsur yang disyaki berkaitan dengan aktiviti perjudian.
“Antara barang dirampas adalah dua set, 12 komputer riba pelbagi jenama, 105 telefon bimbit pelbagai jenama dan modem.
“Semua tangkapan dibawa balik ke IPD Brickfields untuk tindakan lanjut dan akan mendapatkan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anuar berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Ujarnya, Polis Brickfields menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti perjudian haram.
“Sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE