MUNGKIN ada benarnya apabila lima anak muda yang ingin dikenali sebagai Unknown ini menyatakan bahawa kehadiran artis berkumpulan lelaki sudah lama tidak kelihatan mewarnai industri muzik tempatan.
Mengambil peluang itu, Muhammad Shazrul Affandy (Momo), 19, Izmeer Ibrahim (Izmeer), 18, Awangku Zaq Amirul (Zaq), 17, Adam Hafidh(MaryHaf), 19, and Ameer Nor Azam (Ameer), 18, sepakat mahu meneruskan perjuangan seni sebagai sebuah artis berkumpulan.
Bagaimanapun melihat kepada situasi semasa apabila pandemik masih lagi belum pulih, percaturan Unknown mungkin dianggap tidak tepat pada waktunya.
Pun begitu, kelima-lima mereka percaya tidak ada perkara yang mustahil selagi mereka masih menaruh keyakinan yang tinggi selain menyatu dalam satu semangat yang sama.
“Tipulah kalau kami tak sedih atau rasa terkesan kerana terpaksa berkurung dalam tempoh Perintah Kawakan Pergerakan (PKP) ini. Iyalah, susah juga nak keluar mempromosikan lagu, tak boleh buat sidang media kecuali sesi virtual.
“Tapi kami percaya, semua itu bukan penamat untuk kami terus berusaha. Walaupun berkurung, kami masih sama-sama buat lagu dan berlatih.Berkurung tak semestinya tak boleh buat apa-apa bukan?”kata Momo mewakili kumpulan.
Tidak mahu mengalah pada kata putus asa, tambah Momo lagi, antara usaha yang termampu dilakukan oleh Unknown yang bernaung di bawah syarikat pengurusan bakat, Ace Talents ini untuk dikenali adalah menggunakan sepenuhnya platform media sosial.
“Kami aktif dalam media sosial demi mempromosikan single Jangan Marah (Baby Sayang) dan ia termasuklah menggunakan cabaran menari di TikTok untuk menarik lebih ramai pendengar dan pengikut Unknown.
“Nak jumpa peminat buat masa sekarang tak boleh lagi, jadi ini adalah satu inisiatif kami untuk memastikan Unknown tidak tenggelam,”katanya.
Bercakap mengenai usaha untuk dikenali, Unknown juga ditanya mengapa memilih nama tersebut sebagai tanda pengenalan memandangkan pemilihan nama juga memainkan peranan dalam menentukan perjalanan sesebuah band atau kumpulan.
Dalam erti kata lain, salah pilih nama, ia akan membawa nasib malang sementelah nama juga umpama doa dan tuah yang akan mengiringi kerjaya mereka.
“Nama Unknown itu unik dan selalunya kita mestilah nak tampil berbeza bukan? Pada awalnya memang kami ada tampil dengan pelbagai cadangan nama lain. Antaranya The Boys, Ace Boys, Ace dan sebagainya.
“Tapi semua itu bagaikan tidak kena dengan jiwa dan personaliti kami. Malah, kami sedar kelima-lima kami ini masih tidak dikenali atau popular. Disebabkan itu jugalah kami mahu buktikan kepada semua bakat dan kemampuan yang ada.
“Kami nak naikkan kumpulan ini ironi dengan nama yang yang diberi. Mungkin sekarang orang tak kenal, tapi dengan karya dan bakat yang kami ada, tak mustahil suatu hari nanti Unknown dikenali,”kata Ameer.
Tak tiru sesiapa
Dalam pada itu, ditanya adakah mereka sudah bersedia ditohmah meniru mana-mana kumpulan antarabangsa lain memandangkan zaman sekarang industri muzik Kpop begitu mendunia, Unknown ada jawapan tersendiri.
Jelas Momo, sudah tentu mereka tidak mampu lari daripada tuduhan seperti itu, malah sejak pertama kali memperkenalkan diri dalam industri, ramai kalangan warganet dan pengguna media sosial sudah melabel mereka cuba meniru kumpulan antarabangsa yang popular.
“Ada yang kata kami nak tiru kumpulan BTS, Big Bang, dan ramai lagi sedangkan ia tidak benar. Ada yang kata kami tak ada pendirian malah tanpa segan menyuruh kami berhenti sahajalah.
“Kami ambil semua pandangan yang positif dan jadikannya sebagai tenaga untuk jadi lebih besar lagi. Kami ada identiti tersendiri dan segala kritikan yang membina akan kami gunakan untuk menjadi lebih baik lagi pada masa akan datang,”katanya.
Single pertama Unknown, Jangan Marah (Baby Sayang) kini boleh didengarkan di Youtube Ace Talents dan di semua pelantar digital muzik seperti Spotify, JOOX, Apple Music dan lain-lain bermula June 2021.










