GEORGETOWN: Program vaksinasi kepada kumpulan berisiko tinggi di Balai Rakyat Padang Tembak, Ayer Itam dekat sini melibatkan hampir 50 peratus warga emas dalam tempoh dua hari dilaksanakan.
Pegawai Kesihatan Daerah Timur Laut, Datin Dr. Azizah Ab Manan berkata, program pemberian bersasar itu mungkin boleh dilanjutkan dan diperluas pada masa depan melihat kepada sambutan diterima bergantung kepada bekalan vaksin.
Jelasnya, sepanjang dua hari diadakan, kira-kira 400 warga emas berusia lebih 60 tahun yang merupakan sebahagian daripada 13,000 penduduk di kawasan Padang Tembak itu menerima suntikan vaksin masing-masing menerusi program tersebut.
Ujar beliau, mereka adalah golongan berisiko tinggi yang dikenal pasti Kementerian Kesihatan termasuk dengan melakukan tinjauan termasuk dari rumah ke rumah.
“Sebahagian daripada warga emas ini ada yang tinggal berseorangan, mempunyai masalah seperti uzur dan ada yang langsung tidak mengetahui mengenai inisiatif pemberian vaksin yang dijalankan kerajaan.
“Jadi menerusi program vaksin bersasar seperti ini, golongan berisiko tinggi seperti ini dapat dilibatkan dan dipastikan tidak tercicir daripada menerima suntikan vaksin Covid-19,” katanya selepas meninjau proses pemberian vaksin itu di sini hari ini.
Kawasan Padang Tembak yang padat dengan penduduk sebelum ini merupakan antara kluster Covid-19 melibatkan komuniti di negeri ini dengan sekurang-kurangnya 22 orang disahkan positih hasil saringan daripada 179 individu.
Dalam pada itu, seorang warga emas, Chan Nyoke Yin, 83, berkata, dia teruja untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 hari ini yang diharap dapat melindunginya daripada risi
Katanya, kes positif Covid-19 yang tinggi yang dilaporkan di kawasan kejiranannya di Padang Tembak itu menyebabkannya berasa bimbang apatah lagi dia mempunyai masalah kesihatan darah tinggi.
“Jadi apabila pegawai kesihatan datang ke rumah dan memberitahu saya akan diberi suntikan vaksin Covid-19, saya terus bersetuju,” katanya yang berkerusi roda dan ditemani anaknya, Chew Koon Li, 53.
Sementara itu, seorang lagi warga emas, Shamsiah Yahaya, 60, melahirkan rasa lega kerana sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 hari ini tanpa perlu bersusah payah ke pusat pemberian vaksin yang jauh dari kediamannya.
Katanya, dia yang mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis sememangnya berharap mendapat vaksin Covid-19 segera berikutan menyedari risiko wabak itu terhadap golongan warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan sepertinya.
“Setakat ini hanya saya seorang sahaja yang dipanggil untuk menerima vaksin manakala suami dan anak lelaki saya masih menunggu.
“Saya harap mereka juga dapat menerima vaksin segera supaya kami semua dapat dilindungi daripada risiko wabak ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE