Utamakan suntikan vaksin kepada penderma darah

Utamakan suntikan vaksin kepada penderma darah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa mempertimbangkan keutamaan suntikan vaksin kepada penderma darah yang sudah menderma sekurang-kurangnya lima kali berbanding 50 kali sebelum ini. 

Timbalan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Selangor, Datuk Dr. Zulkafperi Hanafi berkata, langkah itu penting supaya para penderma darah dapat meneruskan aktiviti murni berkenaan.

Katanya, jumlah 50 kali itu perlu dilihat semula kerana setiap orang hanya boleh menderma sekali dalam masa tiga bulan, maka sudah tentu mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk mencukupkan jumlah berkenaan.

“Saya syorkan mereka yang menderma lima kali atau lebih diberikan keutamaan mendapatkan vaksin. Kerajaan harus sedar mereka yang menderma darah di negara ini tidak ramai dan tidak sampai sejuta orang.

“Dengan pandemik Covid-19 masa kini, kemungkinan ada penderma yang terpaksa menghentikan aktiviti murni mereka itu sebagai langkah penjagaan dari terkesan wabak berkenaan.

“Jika kerajaan berikan peluang supaya lebih  ramai penderma darah dapat keutamaan vaksin, saya yakin ini sebagai galakan. Tambahan pula, kita tidak mahu tabung darah negara kita kekurangan bekalan darah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zulkafperi, kerajaan harus sedar bahawa mereka yang menderma darah tidak menerima apa-apa bayaran malah ia hanya aktiviti murni dan secara sukarela.

“Kita lihat ramai yang menderma darah kerana mahu menyumbang kepada negara. Ini juga semangat patriotik seperti yang dilakukan oleh tentera, polis, bomba dan banyak lagi. Mereka yang menderma darah berbuat demikian bagi membantu dan menyelamatkan nyawa orang lain,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga tidak berdepan kerugian dengan membuka lebih ruang dan melonggarkan syarat kepada penderma darah  supaya diberikan keutamaan menerima suntikan vaksin Covid-19. 

“Kita perlu ingat bahawa penderma darah ini sangat penting dan menjadi aset kepada kesihatan negara kerana sumbangan mereka dapat menyelamatkan nyawa orang lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya