MARAN: Polis menahan tujuh lelaki di Felda Jengka dekat sini kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah pada dua serbuan berasingan di Felda Wilayah Jengka pada 24 dan 25 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Norzamri Abd. Rahman berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah pondok belakang rumah di Felda Jengka Satu pada 24 Jun lalu pukul 9 malam dan polis menahan enam lelaki sedang khayal menghisap dadah.
“Hasil serbuan itu, polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik merampas dadah disyaki heroin seberat anggaran kasar 40.64 gram, syabu (7.52 gram), dan ganja 0.50 gram bernilai RM2,214.
“Turut dirampas sebuah motosikal model Honda EX5 berwarna hitam, dan satu beg silang berzip warna coklat jenama Fila untuk menyimpan dadah.
“Jumlah keseluruhan anggaran nilai rampasan dadah dan rampasan lain RM5,314,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.
Norzamri berkata, enam lelaki berusia 27 hingga 51 tahun yang ditahan mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.
Tambah beliau, hasil ujian awal air kencing terhadap ke semua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.
“Kesemua suspek direman di bawah seksyen 117 KPJ untuk siasatan lanjut sehingga 1 Julai. Kes disiasat dibawah seksyen 39B, 39A (1) dan seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Menurutnya, dalam satu lagi serbuan pada 25 Jun pukul 1 pagi, polis menahan seorang lelaki berusia 41 tahun yang mempunyai rekod jenayah dan positif dadah methamphetamine di Felda Hulu Jempol.
Menurutnya, polis turut merampas dadah jenis heroin anggaran berat 82.60 gram, syabu (7.27 gram), dan ganja seberat 2.01 gram yang bernilai RM3,688.
Tambahnya, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sehingga kini, polis melaksanakan 60 serbuan bagi membanteras penyalahgunaan dadah di daerah ini.