Setiap yang bergelar anak seni pasti ingin merasakan karakter-karakter berlainan yang boleh dibawa untuk dipertontonkan di layar skrin.
Ini adalah satu kejayaan apabila seseorang pelakon membawa watak yang memberi kesan buat penonton. Malah, merasai kemarahan dan emosi penonton terhadap watak yang dilakonkan menjadi satu kepuasan sebagai pelakon.
Melihat perjalanan karier seni pelakon, Iman Suhana, usahanya semakin membuahkan hasil apabila terus dihujani tawaran apatah lagi namanya kini menjadi sebutan orang ramai.
Selepas berjaya membawa watak seorang bimbo dalam Takdir Yang Tertulis, kini dia muncul pula dengan watak antagonis dalam drama Sabarlah Duhai Hati sebagai Nadia yang disifatkan watak paling berat yang pernah digalasnya.
“Saya rasa ini adalah watak yang mencabar dan berat yang pernah dibawa. Sebelum ini tidak pernah memegang karakter penagih, depresi, jahat serta psiko.
“Mujur di set pengambaran, mereka banyak membantu dan saya juga belajar macam mana membawa perwatakan tersebut. Iman mengkaji fizikal dan karakter seseorang penagih juga kerana bimbang watak yang ingin disampaikan tidak menjadi.
“Bagaimanapun, Iman rasa bertuah dapat membawa watak itu dan peluang untuk menjadi pelakon dalam drama ini,” katanya.
Menurut Iman juga, dia sudah selesa membawa watak antagonis tetapi masih ada perkara yang perlu diperbaiki dalam lakonannya.
“Saya merasakan sudah ‘ngam’ dan selesa membawa watak antagonis. Tetapi, saya akan menonton semula lakonan untuk cari mana kelemahannya.
“Mungkin ada bahagian yang saya masih perlu diperbetulkan dalam lakonan pada masa akan datang,” ujarnya.
Biarpun dihujani kebencian penonton dek watak yang digalasnya menerusi drama Sabarlah Duhai Hati, dia tidak kisah mendapat komen negatif penonton terhadap karakter tersebut.
“Saya tidak kisah pun apa yang diperkatakan oleh mereka terhadap watak Nadia itu. Malah, saya ambil itu sebagai perkara positif kerana tahu emosi penonton terbawa-bawa.
“Mereka sedar perkara itu hanyalah lakonan, ‘nasib baik berlakon’, ‘aku geramlah dengan Nadia itu ini’.
“Bila mereka memberi reaksi begitu, saya rasa berpuas hati kerana watak yang dibawa itu menjadi, memang wujudlah watak Nadia itu di mata mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mahu cuba watak wanita teraniaya
Selepas eksperimennya sebagai wanita antagonis berjaya menghidupkan kebencian para penonton, kini, Iman pula ingin mencuba watak sebagai wanita teraniaya.
Bukan itu sahaja, Iman juga mahu mencuba pelbagai kelainan dalam karakter yang tidak pernah dibawanya.
“Saya teringin untuk mencuba watak wanita teraniaya. Dalam lakonan itu, wanita itu sentiasa baik sahaja. Selain itu, saya juga mahu mencuba watak wanita yang sangat psiko.
“Seterusnya, saya ingin mencuba pelbagai watak yang tidak pernah saya cuba. Iman rasa puas hati dan seronok apabila boleh membawa watak lain dari yang lain.
“Untungnya menjadi pelakon kerana boleh merasai pelbagai perjalanan hidup dalam sesebuah karakter. Tambahan lagi, rasa puas apabila orang sekeliling dapat terima getaran dan tenaga yang disampaikan Iman,” katanya.
Bermula sebagai pelakon sekitar tahun 2017 menerusi drama Monalisa, Iman meluahkan rasa puas hati dengan usahanya selama ini sebagai pelakon untuk menghiburkan penonton.
“Saya berpuas hati dengan usaha yang telah dilimpahkan berbaloi apabila mendapat maklum balas yang positif daripada penonton.
“Selan itu, tidak pernah lagi dihujani komen negatif terhadap diri saya. Jika mereka mengeluarkan kata-kata negatif, saya menganggap komen tersebut adalah nasihat yang boleh diambil dan memperbaki mana yang kurang.
“Susah kita nak mengajar setiap orang untuk bersikap positif atau hanya mengeluarkan kata-kata yang baik. Jadi, kita menerima komen itu dengan cara yang positif,” katanya.
Berkongsi kepada Hits, Iman mengagumi pelakon Beto Kusyairy, Noorkhiriah dan Nabila Huda kerana pembawaan watak mereka dalam lakonan. Katanya, mereka juga mempunyai aura tersendiri apabila berlakon.
Keluarga restu ceburi industri seni.
Segala perkara yang ingin dilakukan, perlu menerima restu dan sokongan daripada tulang belakang kita iaitu keluarga. Lagi-lagi apabila kita telah meletakkan karier sebagai anak seni yang sentiasa penuh onak dan duri.
Malah, sebagai anak seni juga perlu bersedia dengan tohmahan netizen terhadap ketika diri menghadapi kontroversi yang dapat menggugat kerjaya dalam industri tersebut.
Bagi Iman Suhana, dia sentiasa mendapat sokongan penuh daripada suami tercinta serta seluruh ahli keluarganya dalam menceburi bidang yang diminati sejak kecil ini.
“Semasa zaman perkenalan dengan suami pun Iman sudah bergiat aktif dalam bidang teater dan permulaan pengambaran di layar skrin juga pun sudah dengan dia.
“Selepas berkahwin dengan suami, dia terima apa yang saya buat dan sentiasa menyokong saya dalam industri seni ini. Saya pergi ke set pengambaran dan berkaitan dengan lakonan pun dia faham, tiada masalah,” ujarnya.
Dalam pada itu, selain suami, kedua orang tua Iman juga penyokong tegar dan menjadi tulang belakangnya apabila dia menyedari meminati dunia seni sejak kecil.
Katanya, keluarga sentiasa menyokong dalam industri seni dari dahulu lagi. Mereka memberi sokongan kepada Iman memasuki tarian kebudayaan dan menghadiri kelas teater.
Di samping itu, Iman berharap dirinya lebih berjaya dalam industri seni tanah air setanding dengan pelakon terkenal sedia ada dan dapat menjadi contoh kepada bakat baru di masa hadapan.
“Lima tahun akan datang, saya harap boleh lebih berjaya bersama-sama berdiri standing dengan pelakon terkenal serta dapat meneruskan minat ini sampai bila-bila.
“Saya juga ingin menjadi contoh-contoh kepada bakat baharu di luar untuk mereka ada semangat untuk menjadi seperti Iman.
“Dahulu pun mereka pun tidak mengenali saya juga, siapa Iman Suhana? Jadi, saya nak menjadi contoh terbaik buat mereka agar tidak berputus asa untuk terus menunjukkan bakat,” katanya.










