Tanya khabar, ambil peduli orang sekeliling elak tekanan hidup, bunuh diri - Utusan Malaysia

Tanya khabar, ambil peduli orang sekeliling elak tekanan hidup, bunuh diri

MOHAMMAD SHATAR SABRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sokongan moral atau sosial sangat diperlukan kini dalam keadaan masyarakat dihimpit tekanan hidup akibat pandemik Covid-19 bagi mengelak lebih banyak kes bunuh diri.

Pakar Sosial, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, menurut kajian yang dibuat Ahli Sosiologi Perancis, Émile Durkheim, terdapat beberapa sebab mengapa kes demikian terjadi, antaranya membabitkan faktor ekonomi dan sokongan sosial.

Beliau berkata, dalam aspek ekonomi, bantuan ada diberikan kerajaan bagi meringankan beban dalam pelbagai bentuk pakej sejak tahun lalu, namun bagi aspek sosial, masyarakat perlu memainkan peranan.

“Tanya khabar orang terdekat dengan kita terutama ahli keluarga, jiran tetangga, rakan sekerja dan kenal pasti sekiranya ada yang mengalami perubahan kerana tekanan hidup, kemurungan kerana menanggung hutang, kehilangan pekerjaan atau kehilangan sumber pendapatan.

“Biarpun tidak boleh berjumpa secara fizikal kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pelbagai kaedah boleh digunakan termasuk penggunaan kumpulan WhatsApp, sidang video dan kaedah lain secara dalam talian untuk berkongsi maklumat,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kes bunuh diri dalam kalangan masyarakat yang meningkat di negara ini akibat tekanan hidup kesan daripada pandemik Covid-19.

Mohammad Shatar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkata, sekiranya fungsi sesebuah masyarakat diimarahkan, beliau yakin kes yang tidak diingini itu dapat dikurangkan.

Beliau berkata, elemen sokongan moral dan sosial ini perlu diperkukuhkan supaya tiada yang memendam masalah berseorangan seterusnya mengambil jalan pintas selepas menghadapi tekanan serta nekad untuk membunuh diri.

“Bagi mereka menghadapi tekanan hidup pula, jangan berasa malu atau rendah diri untuk berkongsi masalah dengan orang terdekat untuk mendapatkan sokongan sewajarnya.

“Dengan adanya sistem komunikasi dan sokongan yang baik, pastinya ahli masyarakat akan rasa disayangi serta tidak tersisih seterusnya mampu menahan diri daripada melakukan perkara di luar tindakan normal,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN