SWM Environment kekal operasi sepanjang sekatan pergerakan penuh - Utusan Malaysia

SWM Environment kekal operasi sepanjang sekatan pergerakan penuh

PETUGAS SWM Environment mendengar taklimat sebelum menjalankan operasi sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh di Johor Bahru, Johor. - UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam oleh SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) akan diteruskan seperti biasa sepanjang tempoh penguatkuasaan sekatan pergerakan penuh.

Pengurus Besar Korporatnya, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, perkhidmatan itu melibatkan kesemua 15 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Menurut beliau, pengalaman pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu dijadikan panduan pihaknya menguruskan sisa buangan.

“Justeru, kami memohon kerjasama penduduk untuk memastikan tiada halangan kenderaan di sepanjang laluan perkhidmatan serta di sekitar tong sampah beroda dan rumah sampah berpusat.

“Penduduk juga disaran menguruskan sisa buangan mereka secara tertib terutamanya sisa pelitup muka bagi mengelakkan risiko jangkitan Covid-19,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Mohd. Norlisam turut meminta orang ramai melaksanakan kaedah pengasingan sisa pepejal di punca dan memanfaatkan program KITARecycle bagi menguruskan barangan kitar semula khususnya bungkusan plastik dan kotak yang dijangka meningkat sepanjang tempoh berkenaan.

“Selain itu, saluran komunikasi awam SWM Environment merangkumi Talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472 dan Talian WhatsApp SWM di 012-6180082 akan terus dibuka.

“Operasi pengambilan tong sampah beroda di Depoh SWM Kangkar Tebrau, Kulai, Pontian, Kota Tinggi, Mersing, Simpang Renggam dan Kluang juga beroperasi seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) Sekatan Pergerakan Penuh yang telah ditetapkan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN