JOHOR BAHRU: Menawarkan gaji antara RM1,000 hingga RM3,000 setiap seorang tidak termasuk komisen, menjadi modus operandi sindiket yang mengambil kesempatan terhadap situasi pandemik Covid-19 dengan menawarkan kerja sambilan sebagai ejen jualan e-dagang yang tidak wujud bagi mengaut keuntungan mudah.
Mangsa yang terpedaya kemudian ditawarkan menjadi ejen jualan barangan sebuah platform e-dagang ternama sama ada mahu menjadi ejen biasa atau ejen VIP yang masing-masing menawarkan komisen lapan dan 15 peratus bergantung kepada jumlah belian barangan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mangsa seterusnya diarahkan membuat pembayaran ke akaun keldai (mule akaun) bagi pembelian produk yang diiklankan di platform e-dagang itu yang didakwa stoknya telah tersedia.
Bagi meyakinkan mangsa, kata beliau, mangsa juga dijanjikan menerima semula wang mereka berserta jumlah komisen dalam tempoh 10 hingga 15 minit selepas pembayaran dibuat serta memberikan pautan kepada produk yang dibayar mangsa.
“Modus operandi sindiket ini digerakkan oleh kumpulan lain yang bertindak sebagai ibu pejabat yang membuat hebahan melalui laman sosial dan menghantar mesej di aplikasi WhatsApp secara rawak kepada mangsa yang menawarkan kerja sambilan.
“Mangsa yang berminat (untuk menjadi ejen jualan) diarahkan menghubungi pusat panggilan yang diserbu polis di Kota Tinggi, Isnin lalu,” katanya ketika membongkarkan kegiatan sindiket itu dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.

Sindiket yang disyaki beroperasi sejak sebulan lalu itu dihidu polis yang melakukan serbuan dan pemeriksaan di empat premis kediaman berpagar dan berpengawal di Kota Tinggi yang membawa penangkapan seramai 22 individu berusia 15 hingga 28 tahun termasuk ketua pusat panggilan terbabit.
Ayob Khan berkata, kesemua individu warga tempatan yang ditahan itu berperanan sebagai pekerja pusat panggilan kepada mereka yang berminat untuk menjadi ejen jualan secara atas talian sebagai kerja sambilan.
“Sindiket ini sering menukar lokasi operasi serta bertukar pekerja agar sukar dikesan pihak berkuasa. Mereka juga didapati menjadikan warga Singapura sebagai mangsa utama dengan segala perhubungan adalah melalui WhatsApp dan Wechat sahaja.
“Ini adalah kes pertama seumpamanya di negeri ini dan ibu pejabat sindiket itu masih belum dikesan. Mungkin ada lagi pusat panggilan yang beroperasi di negeri ini. Manakala, akaun keldai yang digunakan sindiket ini berpengkalan di Singapura dan Malaysia,” ujarnya.
Tambah beliau, jumlah mangsa dan kerugian yang dialami mangsa masih dalam siasatan dan kesemua suspek ditahan reman selama tiga hari bermula semalam hingga esok untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas 48 unit telefon bimbit, 12 komputer riba, dua buku catatan dan dua unit modem.
Ayob Khan turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran secara atas talian yang menawarkan pulangan mudah dengan segera. Setiap maklumat yang diterima seperti akaun bank atau nombor telefon boleh disemak terlebih dahulu di http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ bagi mengetahui sama ada terlibat dengan kes jenayah komersial atau tidak. – UTUSAN ONLINE