Sekatan pergerakan penuh hanya beri impak minimum kepada KDNK - Utusan Malaysia

Sekatan pergerakan penuh hanya beri impak minimum kepada KDNK

SEKATAN pergerakan yang dilaksanakan sepanjang pandemik menyebabkan ramai golongan M40 jatuh ke tahap pendapatan B40. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lanjutan sekatan pergerakan penuh selama dua minggu bermula kelmarin dijangka memberi impak minimum kepada unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ia berikutan masih banyak sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi kali ini, berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 yang dilaksanakan tahun lalu.

Sehubungan itu, beliau menjangkakan pertumbuhan positif KDNK pada suku kedua dan keseluruhan tahun ini, masing-masing pada satu peratus dan 5.5 hingga tujuh peratus.

“Sektor yang paling terkesan masih lagi sektor-sektor yang terkesan sejak PKP 1.0 iaitu hospitaliti dan pelancongan, pengangkutan, penerbangan, sukan serta hiburan.

“Selain itu, perniagaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga terkesan teruk kerana pendapatan mereka bergantung kepada komuniti sekitar dan PKP menyebabkan kurangnya pelanggan datang ke premis mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob minggu lalu mengumumkan sekatan pergerakan penuh dilanjutkan selama dua minggu bermula 15 Jun sehingga 28 Jun ini.

Kata beliau, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira kes harian Covid-19 yang masih tinggi melebihi 5,000 kes sehari.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, kerajaan boleh melonggarkan batasan pergerakan dan membenarkan sektor ekonomi kembali dibuka, beroperasi dengan kapasiti pekerja dan jam operasi yang normal berdasarkan jumlah kes jangkitan yang rendah bagi mengurangkan impak ke atas ekonomi negara.

Namun, beliau menegaskan, data kes jangkitan harian harus diperincikan dengan lebih mendalam bagi memahami faktor penurunan kes yang sebenar.

“Ia perlu diperincikan untuk memahami adakah penurunan kes jangkitan disebabkan kurang aktiviti saringan, kelewatan dalam mengumumkan keputusan jangkitan, kes jangkitan tidak dilaporkan serta sektor mana yang menunjukkan penurunan drastik.

“Ini penting untuk memastikan keputusan yang dibuat oleh kerajaan adalah berdasarkan data yang relevan dan sahih,” katanya.

Kata beliau, sekatan pergerakan penuh yang dilaksanakan berkemungkinan memberi kesan kepada kadar pengangguran memandangkan ada majikan yang tidak mampu lagi mengekalkan pekerja apabila aktiviti perniagaan menjadi terhad

“Selain itu, harga barangan kemungkinan akan meningkat akibat harga minyak yang kekal tinggi serta permintaan makanan yang tinggi daripada China menyebabkan harga makanan di Malaysia juga meningkat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya