Pasti sulit mengharungi cabaran sebagai seorang anak seni sementelah terpaksa mendisiplinkan diri juga untuk mengimbangkan antara bidang nyanyi dan pelajaran.
Paling mencabar apabila seorang penyanyi baharu yang ingin mengorak langkah memahat namanya di persada industri muzik tanah air.
Dalam masa yang sama, sibuk dan perlu mahir untuk menguruskan masa sebagai seorang pelajar universiti supaya nama sebagai penuntut tidak tercemar kerana menyusahkan rakan-rakan lain.
Ini diakui penyanyi versatil, Aisha Retno, yang kini masih meneruskan pengajian dalam bidang ekonomi di institusi terkemuka di Malaysia iaitu Universiti Malaya.
Katanya, bagi seimbangkan antara nyanyian dan pelajaran agak sukar, mujur orang sekeliling memahami situasinya yang kini sebagai seorang penyanyi yang bercita-cita ingin mengembangkan bakatnya dengan lebih jauh.
“Seimbangkan belajar dengan menyanyi memang agak sukar. Malah, untuk selarikan pekara itu sebagai pelajar dan penyanyi memang agak mencabar juga.
“Jadi Aisha buat jadual dan ibu selalu mengingatkan untuk seimbangkan nyanyi serta masa belajar. Paling penting, kita perlu ada kawan di universiti yang selalu mengingatkan dan memahami situasi kita sebagai penyanyi.
“Apabila kawan kita dapat memahami, mereka akan sanggup menolong untuk mengingatkan segala tugasan yang ada. Aisha juga perlu sentiasa tekun dan tidak lupa jika ada tugasan,” katanya.
Berkongsi cabaran dan kesukaran sebagai seorang pelajar, kadang kala Aisha terlupa menyiapkan tugasan. Semasa menyanyi juga dia memikirkan tentang tugasan.
Selepas tamat pengajian kelak, Aisha merancang mencari cabang-cabang yang dapat dikembangkan dalam bidang ekonomi selain sebagai penyanyi sepenuh masa.
“Aisha masih belum ada lagi visi dan misi yang kuat pada masa ini, masih go with the flow. Aisha masih mencari dan mencuba cabang-cabang yang boleh kembangkan lagi dalam jurusan ekonomi.
“Untuk menjadi penyanyi sepenuh masa ada juga dalam impian, bagaimanapun, Aisha juga berharap sebagai penuntut ekonomi, masih boleh lagi digunakan untuk masa hadapan,” ujarnya.
Tinjau peluang yang ada
Apabila sudah meletakkan diri sebagai anak seni, pasti mempunyai azam untuk menceburi cabang seni yang lain dalam industri tersebut.
Sebagai mempertaruhkan dirinya dalam dunia hiburan juga menampakkan kelainan daripada yang lain agar segelintir pihak dapat melihat kebolehan dan bakat lain yang ada dalam diri.
Juara program realiti Vokal Mania ini berhasrat untuk menceburi bidang pengacaraan dan lakonan dalam memperluas lagi visi yang bukan hanya seorang penyanyi.
“Dalam perancangan masa panjang, Aisha tidak mahu fokus kepada nyanyian semata-mata tetapi ingin mencuba peluang yang ada selagi mempunyai kudrat dan tenaga.
“Malah, Aisha juga ingin menceburi bidang pengacaraan dan lakonan, jadi dari sini aisha dapat memperluas lagi visi yang bukan hanya seorang penyanyi.
“Selain itu, Aisha memandang kehadapan jika ada peluang menjadi pengacara di layar skrin kerana kita perlu mencuba dan tidak salah untuk mencuba selain menyanyi,” katanya.
Penyanyi di bawah label Sony Muzik Malaysia ini sedang meluaskan pandangannya dengan mencuba genre yang lain seperti irama tradisional, dangdut serta rock kerana genre tersebut pernah dibawanya ketika di Vokal Mania.
Berkongsi idolanya dalam industri muzik, dia amat mengagumi penyanyi popular Amerika, Ariana Grande serta penyanyi tanah air iaitu Faizal Tahir, Erni Zakri serta Aina Abdul di atas bakat menyampaikan lagu.
“Aisha idolakan Ariana Grande, kerana dia pandai menulis lagu dan seorang penerbit lagu yang tersohor di Amerika,” katanya.










