"Saya pernah benci diri sendiri..." - Uyaina Arshad - Utusan Malaysia

“Saya pernah benci diri sendiri…” – Uyaina Arshad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANYAK dugaan sebenarnya sebelum kami sempat berbalas bicara. Kekangan masa dan kesibukan anak seni ini juga menyukarkan kami untuk berbual. Tetapi percaturan Tuhan itu indah, semuanya dipermudah dan senang dijalani.

Kesempatan yang sekejap cuma ini digunakan sebaik mungkin. Banyak yang kami bualkan. Daripada hal kerjaya, peribadi dan luahan isi hati. Berbual dengan Uyaina Arshad, kalau namanya pengacara, celotehnya boleh tahan.

Tidak henti-henti bercakap. Tetapi isinya bijak, bukan tin kosong. Setiap huraian ditutur satu-satu. Itu kelebihan yang ada pada Uyaina. Seorang yang sangat senang diajak berbual. Tanyalah apa sahaja, dia senang menjawab.

Lantas gelanggang soalan saya buka. Di kala dunia media sosial menjadi medan perperangan idea, pernahkah wanita ini tersungkur dek serangan kecaman netizen? Adakah episod hitam itu pernah tertulis dalam skrip kehidupannya.

Beberapa kali menghirup nafas, Uyaina membuka helaian diari hidupnya. Pernah menanggung kesakitan yang sukar diterjemah oleh kata-kata, pelakon dan pengacara ini menyimpan itu semua dalam hati. Dia tanggung segalanya.

“Pernah saya kerap tanya diri sendiri, kenapa aku macam ini? Kenapa orang lain bagus? Kenapa aku tak sebagus mereka? Ketika itu saya benci dengan diri sendiri. Penat sangat. Saya rasa orang sekeliling tidak faham, saya menjauh.

“Hanya kesedihan dan kesakitan menemani. Menangis dan terus menangis. Tetapi untuk satu tempoh sahaja. Saya mula kumpul semangat dan berehat daripada semua kepedihan. Perlahan saya mula belajar menghargai kehidupan.

“Mensyukuri apa adanya tanpa menghukum sesiapa. Setiap orang ada ujian dan masalah sendiri. Terutama ketika pandemik ini. Kita mungkin berada dalam ribut yang sama tetapi bot yang berbeza,” kongsi pelakon Love Elsa ini.

Korban rindu

Diaju soalan, apakah pengorbanan terbesar Uyaina sepanjang bergelar anak seni, dia mengambil masa beberapa ketika sebelum menjawab. Perlahan dia membuka mulut, masa bersama keluarga dan yang tersayang adalah korban yang harus dilakukan.

“Bila kita mula penggambaran, kita akan sibuk sehingga tidak ada masa bersama keluarga. Saya rasa jauh dan rindu sangat dengan mereka. Untung juga kita melewati situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dapat luang masa bersama keluarga.

“Saya fikir, bukan diri ini sahaja yang menanggung rindu itu. Pasti ramai antara kita yang terpaksa menutup mata soal rindu untuk mencari rezeki. Ada ketika nanti kita akan pulang dan melepaskan rindu yang terbungkam,” katanya.

Kerjaya seiring menyinar

Melihat draf peningkatan kerjaya Uyaina, saya boleh katakan dia harus berbangga. Namanya menjadi pilihan, tidak kira untuk lakonan atau pengacaraan. Tetapi soal nyanyian, Uyaina awal-awal lagi sudah kibarkan bendera putih.

Menghargai peluang yang diterima, bagi Uyaina, dirinya cukup bertuah apabila ramai yang mula nampak bakat yang dimiliki. Rezeki itu rahsia Tuhan, kita cuma menunggu peluang dan rebut dengan sebaiknya. Usaha itu kuncinya.

Pernah dikecam dek ‘kejanggalan’ dia apabila mengacara Family Duo satu ketika dahulu, itu adalah satu pengalaman emas buat Uyaina. Baginya tiada kejayaan tanpa kegagalan. Dia juga tidak terus hebat tanpa pembelajaran.

“Ketika itu, tanggungjawab itu memang berat untuk saya pikul. Tetapi itukan satu cabaran? Saya bukan pelawak jadi mana nak datang komedinya.

“Dari situ saya belajar. Takkan seharus terus pandai kan? Saya juga berterima kasih kepada pengkritik. Itu yang buat saya lagi mahu buktikan kemampuan.

“Itu tanda mereka peduli dan tahu saya sebagai pengacara. Bukankah itu satu yang baik?” kongsinya.

Bebas dosa?

Mula selesa berbicara, soalan saya terarah kepada punca kemurungannya. Adakah kerana perhatian yang diterima? Atau imaginasi peminat yang mahu dia sentiasa ‘bebas’ dosa? Sehingga setiap kesilapan adalah satu dosa besar.

Bergelar juara program realiti Indonesia, Puteri Muslimah 2018, tanggungjawab itu dibebani seadilnya. Adakala dia juga terlepas pandang. Dia juga manusia, tidak lari dari kekhilafan. Cuma ada segelintir yang kurang senang.

“Sejak awal kemenangan lagi, saya sudah dihujani dengan kemahuan itu ini daripada segelintir peminat.

“Sehingga sekarang, masih ada yang suruh saya buat itu ini. Kalau silap tunjukkan cara yang sebaiknya, dengan manis adab.

“Kita tidak akan dapat memuaskan hati semua orang. Ada sahaja yang akan bercakap, mengecam. Semua benda salah di mata mereka itu. Saya cuma jadi diri sendiri,” katanya.

Mimpi jadi nyata

Suaranya teruja tatakala ditanya, apakah sasarannya dalam industri seni. Adakah barisan anugerah menjadi dambaan? Atau laungan nama Uyaina Arshad daripada jutaan peminat?

Uyaina hanya menggelengkan kepala. Tidak perlu barisan anugerah, tidak perlu jutaan peminat. Cukup untuk dia membuktikan bakat dengan mempunyai sebuah rancangan sendiri. Itu sudah cukup memercik kemanisan dalam hidupnya.

“Bukan tak mahu anugerah atau jutaan peminat, itu semua kejayaan yang mungkin jauh lagi untuk saya kecapi. Tetapi saya mahu sebuah program atau rancangan atas nama Uyaina Arshad. Seronoknya kalau dapat realisasikan itu, Amin.

“Persaingan ramai. Pendatang baharu hadir tanpa henti. Jadi dengan apa yang saya miliki sekarang, itu satu mimpi jadi nyata. Siapa sangka, saya kini ada peminat,” selorohnya.

Alang-alang, saya sempat menyelit. Bila mahu kahwin? Itu soalan biasa bukan? Sementelah, Uyaina tidak berselindung hubungan cinta bersama penyanyi, Raja Syahiran.

“Sempat ya! Perancangan sudah ada tetapi nanti dulu ya. Saya tak mahu terburu-buru. Sampai jodoh nanti, Insya-Allah,” katanya menutup kata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN