SHAH ALAM: Kegembiraan sekumpulan individu yang sedang berseronok menyambut hari jadi hanyalah sementara setelah ditahan polis dalam satu operasi di sebuah kondominium mewah di Seksyen 7, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, operasi tersebut dijalankan setelah menerima aduan daripada penduduk setempat mengenai aktiviti kumpulan itu.
“Seramai tujuh anggota operas diketuai Ketua Polis Balai Seksyen 6, Inspektor Mohamad Sabri Ayob telah membuat pemeriksaan di lokasi kejadian kira-kira pukul 2 pagi.
“Setiba di lokasi kejadian, kami mendapati tujuh lelaki dan seorang wanita sedang menyambut hari jadi salah seorang daripada mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, polis turut menemukan lima paket dadah disyaki syabu dan satu paket dadah berisi tujuh biji pil yaba yang keseluruhan beratnya 5.14 gram.
Kata Baharudin, ujian saringan air kencing dijalankan ke atas kesemua suspek mendapati lima suspek positif dadah Amphetamine dan Methamphetamine.
“Semua suspek yang berusia lingkungan 21 hingga 37 tahun itu ditahan reman empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.
“Mereka disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Sek. 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” tegasnya.
Selain disiasat, pihak polis turut mengeluarkan tujuh kompaun terhadap mereka kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dengan nilai kompaun RM4,000 terhadap setiap seorang. – UTUSAN ONLINE










