Rokok seludup bernilai hampir RM2.05 juta dirampas - Utusan Malaysia

Rokok seludup bernilai hampir RM2.05 juta dirampas

SHOPPRI Saad (tengah) menunjukkan rokok seludup bernilai hampir RM2.05 juta yang dirampas PPM dalam serbuan di sebuah gudang di Jalan Changkat, Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pulau Pinang merampas 280 kotak rokok seludup disyaki tidak dibayar cukai bernilai RM2.046 juta dalam serbuan di sebuah gudang di Jalan Changkat, di sini kelmarin.

Dalam operasi kira-kira pukul 7.30 malam itu, sepasukan pegawai dan anggota PPM menerusi Op Kontraban menyerbu gudang itu namun tiada tangkapan dilakukan.

Pemangku Komander PPM, Superintenden Shoppri Saad berkata, bagaimanapun ketika dalam perjalanan ke kawasan gudang itu, pihaknya menyedari diekori beberapa buah kenderaan disyaki tonto.

“Setibanya di kawasan gudang itu terdapat sebuah kereta telah menyedari kehadiran kami lalu terus memecut laju melarikan diri dan tidak dapat dikesan.

“Pasukan PPM membuat pemeriksaan di dalam gudang tersebut dan mendapati terdapat 280 kotak rokok seludup pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai berjumlah RM 2.046 juta disimpan di situ,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, intipan dan pemerhatian di lokasi kejadian telah dibuat kira-kira satu jam namun tiada individu yang tampil di kawasan gudang tersebut.

”Polis tidak menolak kemungkinan semua rokok ini diseludup dari negara jiran namun masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan sindiket yang terlibat dalam kegiatan ini.

“Rampasan melibatkan rokok putih sebanyak 240 kotak serta rokok kretek sebanyak 40 kotak dan kesemua rampasan dibawa ke Pengkalan Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut,” katanya.

Shoppri berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan pihaknya akan meneruskan operasi untuk mengesan dalang-dalang sindiket penyeludupan itu.

“Orang ramai disarankan menyalurkan maklumat kepada PPM menerusi talian 04-6558222 untuk membanteras kegiatan berkenaan kerana aktiviti penyeludupan telah menyebabkan ketirisan cukai kerajaan sebanyak RM5 bilion setahun,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya