Apabila lagu telah direalisasikan sebagai runut bunyi, bait-bait lagu tersebut haruslah selari penjiwaan serta jalan cerita sesebuah drama mahupun filem.
Hakikatnya, perjalanan cerita dalam lagu itu perlu cukup jiwa dan rasa untuk melengkapkan keseluruhan naskhah berkenaan dalam mencipta sebuah karya yang cukup gah.
Bagaimanapun, demi penyampaian lagu yang baik, setiap penyanyi harus melakukan sedikit homework agar nyanyian mereka benar-benar meresap dan menusuk ke jiwa pendengar.
Perkara tersebut diakui oleh penyanyi popular, Siti Nordiana yang menyalurkan sepenuh emosi dan rintihan dalam lagu baharunya, Cukup Derita Itu.
Mendapat sentuhan daripada komposer hebat, Tam Spider manakala liriknya oleh Siti Rosmiza, ternyata gabungan tiga figura ini cukup kuat untuk memberi kelebihan terhadap lagu tersebut.
Malah, lagu baharu berkenaan juga menjadi OST drama menggunakan judul sama iaitu Cukup Derita Itu yang dilakonkan oleh bintang ternama, Hisham Hamid, Ruhainies dan Chaca Maembong menerusi slot Samarinda TV3.
Meskipun memang sudah diakui kehebatan vokal dan nyanyi Siti Nordiana yang mesra disapa Nana, dia tetap berdepan dengan cabaran tersendiri untuk menyanyikan lagu ini apa lagi menjiwai bait liriknya.
Sedar betapa pentingnya runut bunyi yang menjadi nadi kepada sesebuah karya atau drama dan filem, bagi Nana membawa Cukup Derita Itu perlu meletakkan ekstra sedih dan menggali pengalaman pahit yang pernah dilaluinya.
“Pertama kali dapat lagu ini, Nana perlu tahu bagaimana jalan ceritanya dan menonton klip-klip disediakan produksi supaya lebih faham plot yang ingin disampaikan.
“Bila sudah faham keseluruhan jalan cerita, barulah Nana meletakkan diri untuk menghayati penderitaan watak itu. Kebetulan drama ini sarat dengan permainan emosi, jadi Nana perlu menyuntik elemen sedih dan derita sewaktu proses rakaman.
“Lagu ini memang forte Nana, jadi cabarannya adalah bagaimana nak menjadikan lagu ini dirasai penderitaannya untuk terasa lebih merintih apabila orang dengar,” katanya.
Menurut penyanyi itu, drama tersebut memberi impak yang sangat besar kepada lagu itu. Drama Cukup Derita itu baginya amat membantu untuk lagu berkenaan popular.
“Harapan Nana supaya lebih ramai yang mendengar lagu ini kerana ia sangat istimewa. Harap juga lagu ini popular dan penstriman di setiap saluran digital yang ada juga meningkat” ujarnya.
Berkolaborasi dengan ramai komposer, Nana meluahkan isi hatinya yang teringin bekerjasama dengan penerbit terkenal industri muzik tanah air, Datuk M Nasir.
Sejak berada industri, Nana tidak pernah lagi berkolaborasi dengan nama besar itu.
Perlu kreatif demi kelangsungan hidup

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh nampaknya memberi kesan lagi kepada golongan penyanyi dan pemuzik selepas lebih setahun tidak berpeluang mengadakan persembahan bersama peminat.
Melihat situasi sukar ketika ini, Siti Nordiana juga terkena tempias dan mengakui pendapatannya terjejas gara-gara persembahan untuk menghiburkan para peminatnya terpaksa dibatalkan sejak PKP tahun lalu.
Sebelum ini, Nana memang ‘lebat’ dengan tawaran persembahan disaat wabak pandemik Covid-19 tidak wujud di muka bumi.
Kini, sebanyak 60% anggaran pendapatannya terjejas akibat wabak tersebut. Namun, dia tidak pernah mengeluh sebaliknya cuba menncari inisiatif lain agar dapat meneruskan kelangsungan hidup.
“Tawaran nyanyi sangat terhad dan tidak seperti dahulu. Malah, saya dah lama tidak membuat persembahan. Bagaimanapun, saya bersyukur wang simpanan yang ada dapat digunakan untuk menampung kehidupan.
“Selanjutnya, Nana perlu berfikir lebih kreatif untuk meneruskan kelangsungan hidup. Pendapatan yang boleh Nana buat adalah membuat cover lagu dan berkongsi di saluran Youtube.
“Selain itu, Nana menerima tawaran membuat ulasan produk di Instagram serta menjalankan beberapa kempen di media sosial.
“Nana juga menjual cakera padat (CD) yang menghimpunkan lagu islamik serta menjual tudung di aplikasi Shopee. Alhamdulillah, semua inisiatif berkenaan membantu Nana menjana pendapatan selama ini,” katanya.
SINGLE BAHARU
Berkongsi projek baharu yang mendatang, penyanyi itu akan mengeluarkan single berlainan daripada genre yang pernah dibawa sebelum ini. Lagu berkenaan akan menampilkan seorang penyanyi rap wanita.
Semasa waktu PKP penuh ini, Nana aktif membuat persembahan menerusi media sosial Instagramnya. Baginya, perkara tersebut adalah cara untuk dia menghiburkan peminatnya memandangkan tidak dapat bersua muka.








