REALITI buat mana-mana pasangan kekasih, andai jodoh ditakdirkan panjang untuk sampai ke jenjang pelamin, lazimnya kehidupan selepas berkahwin itulah yang lebih menguji.
Malah, pada kebanyakan masa, seseorang itu secara semulajadi akan menyerlahkan warnanya yang sebenar setelah masing-masing hidup bersama sebagai suami dan isteri.
Perkara yang sama barangkali juga sedang dialami oleh pasangan duet popular negara, Ernie Zakri dan Syamel yang masih mendakap manisnya momen sebagai pasangan pengantin baharu.
Malah, bak kata Syamel sendiri, hendak diulas berlebihan tentang perkahwinan mereka ini juga seakan tidak kena. Maklum sahajalah, baru sangat memegang status suami isteri, mungkin masing-masing masih janggal lagi.
“Setiap pasangan yang berkahwin, semua akan melalui perjalanan berbeza dalam persamaan yang ada. Macam saya beruntung sebab kami berdua sudah lama kenal sebagai seorang sahabat namun dalam aspek tertentu adalah hadnya.
“Selepas kahwin pula, ibarat kita dapat akses dan ekspresi yang mendalam untuk lebih mengenali keperibadian pasangan, tak ada nak berlakon-lakon. Pendek kata, sepatutnya antara suami dan isteri itu sudah tidak perlu ada rahsia,”katanya.
Meletakkan komunikasi sebagai kunci utama sesebuah perhubungan, penyanyi berusia 27 tahun ini sedar jika hanya berbicara mengenai kemanisan alam rumah tangga sahaja, ia tidak akan kelihatan semula jadi.
“Biasanya, lepas kahwin orang akan bercakap perihal yang manis-manis sahaja, Bagi saya, realiti, tak adalah semuanya manis sahaja.Bahkan adakala, ada sahaja pasangan yang buat-buat manis sedangkan itu semua lakonan.
“Bagi saya, kalau dapat amalkan konsep komunikasi antara pasangan dengan sebaiknya, sesebuah hubungan itu akan secara semula jadinya jadi manis. Kadangkala, benda mudah sahaja contohnya ucapan terima kasih selepas isteri buatkan air atau tolong ambilkan tisu, itu pun manis juga,”katanya.
Bersetuju dengan pandangan Syamel, Ernie secara peribadi juga mengaku tentu sahaja ada perkara-perkara baharu tentang suaminya itu yang cuma diketahui selepas kedua-duanya tinggal bersama.
Namun, ia tidaklah pula dianggap sebagai satu beban apatah lagi masing-masing juga sedang belajar untuk beradaptasi dengan kerenah baik dan buruk pasangan sendiri.
“Kami sebelum berkahwin, memang dua-dua tinggal dengan keluarga dan tak pernah menetap di luar berdikari sendiri. Jadi, apabila hidup berdua di rumah sendiri, perasaannya itu berbeza sangat.
“Terus-terang, ada banyak benda tentang Syamel yang sebenarnya saya pun tak pernah tahu. Mungkin dia juga begitu tentang saya. Jadi sekarang ini kami sedang belajar kenal lagi diri masing-masing. Contohnya dia suka makan apa, cara masakkan yang bagaimana, semualah,”katanya.
Terima mesej pasangan lain
Dalam pada itu, mengajak kedua-duanya berbicara mengenai respons single duet Hello Goodbye serta muzik video, Ernie dan Syamel menghela nafas lega kerana setakat ini banyak komen positif diterima mereka.
Malah, kata Ernie, dia juga tidak menyangka lagu tersebut mendapat perhatian dan minat ramai pasangan suami isteri yang merasa terkait dengan karya nukilan kedua-dua mereka bersama Faizal Tahir dan Mike Chan itu.
“Macam saya, ramai para isteri mesej saya secara peribadi di Instagram dan meluahkan suka dengan lagu itu. Rata-ratanya mengatakan ia dekat dengan mereka. Kita semua tahu hidup berumah tangga ini tentu ada pasang surutnya.
“Ramai sahaja pasangan yang melalui pelbagai ranjau dan duri dalam setiap destinasi yang dituju. Kami pun melaluinya, dan segala perasaan itu dicurahkan dalam lagu tersebut.
“Kami nak semua yang mendengar dapat merasakannya juga. Kalau lagu ini boleh membuatkan mana-mana pasangan menjadi terinspirasi, kami berdua pun tentunya gembira,”katanya.
Sedang hamil?
Alang berbual mengenai bab masak, Syamel tidak menolak, isterinya itu gemar benar memasak semenjak berpindah ke rumah sendiri dan dek kerajinannya itu tidak dinafikan, berat badannya juga bertambah sejak berkahwin ini.
Cuma, perubahan itu mungkin tidak ketara sebagaimana Ernie yang mengaku sejak hidup berdua kini,berat badannya naik sehingga 5 kilogram.
“Sebelum berpindah ke rumah sendiri, kami berdua gilir-gilir tinggal dengan keluarga masing-masing selepas kahwin. Jadi faham-faham sahajalah, duduk dengan keluarga, kemudian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula, memang hari-harilah makan nasi.
“Memang saya naik berat badan dan ia jelas kelihatan dalam penghasilan muzik video lagu terbaru kami, Hello Goodbye. Ramai yang mesej dan tanya saya sekarang sudah berbadan duakah?
“Nampak pipi membulat dan perut seakan ada isi, ramai yang sangka saya sedang hamil. Biasalah perempuan, kalau sentuh isu berat badan dan hamil ini sebenarnya isu sensitif kan, ada juga ia buatkan saya rasa sedih,”katanya.
Pun begitu, kata Ernie, dia tidak melenting kerana dari satu pandangan positif, sebenarnya kata-kata mereka itu adalah satu harapan dan doa buat dirinya dan Syamel.
“Iyalah, siapa yang berkahwin tak mahu zuriat bukan? Tanyalah pada mana-mana pasangan, semua nak anak. Walaupun kami berdua tak pernah merancang keluarga dan mahu dapat zuriat, tapi kami berserah pada kehendakNya.
“Paling utama, saya dan Syamel sentiasa berdoa agar biarlah kami berdua dikurniakan rezeki cahaya mata dalam keadaan yang benar-benar sesuai untuk kami. Kadang-kadang, memang kita rasa nak anak, tapi Tuhan itu lebih mengetahui waktu terbaik untuk seseorang itu memikul tanggungjawab itu.
“Tetapi terima kasih buat semua yang mendoakan saya dan Syamel,”katanya.
Serba tak boleh
Bagi yang telah lama mengenali Ernie dan Syamel, barangkali sudah cukup tahu bahawa kedua-duanya cuma menjadi diri sendiri saat ramai menggelar mereka pasangan duet paling romantis dalam industri.
Bukan sahaja ketika berada di pentas seni, tetapi realitinya mereka berdua juga sering memotretkan aksi-aksi manis yang dikongsikan dalam media sosial.
Cuma, siapa sangka, rupanya ada sahaja pihak yang kurang gemar dengan cara mereka itu yang dianggap sengaja dibuat-buat sehinggakan menatapnya sahaja sudah cukup untuk membuahkan rasa meluat.
“Apa saja yang kita buat, tentu ada yang suka dan tidak suka. Dulu, ada yang mempersoalkan kenapa kami sorok hubungan cinta.Sudah kahwin pun ada juga yang pertikaikan dengan macam-macam perkara.
“Susah nak suruh semua orang suka kita, serba tak kena. Bagi saya dan Syamel, selagi apa yang kami buat tidak melampaui batas, InsyaAllah tak ada yang melampau atau tak senonoh. Kalau ada, sebelum orang lain kata tak suka, ibu ayah kami yang akan amuk dulu.
“Pula itu setelah berkahwin, ia juga bukan satu lesen untuk saya atau Syamel bawa kepala sendiri. Lebih banyak hati yang perlu kami jaga. Nak muat naik sesuatu di media sosial pun sebenarnya kami berhati-hati,”katanya.
Kongsi Ernie lagi, dia tidak berang dengan keadaan itu lantaran memahami semua orang punya pandangan tersendiri, maka terpulanglah.










