PELABUHAN KLANG: Kementerian Pengangkutan bersama Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) sedang menyelaras program vaksinasi kepada pemandu teksi dan e-hailing, pemandu bas dan petugas penghantar barangan p-hailing.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, perkara itu melibatkan jumlah keseluruhan 355,064 orang di seluruh negara.
Beliau memberitahu, pemberian vaksin sektor pengangkutan dimulakan semalam melibatkan 51,500 kakitangan barisan hadapan terdiri daripada pelaut, petugas pelabuhan, lapangan terbang, pengangkutan darat serta rel yang dijadual menerima vaksin Covid-19 secara berfasa.
Katanya, pemberian vaksin sektor pengangkutan bermula dengan program vaksinasi melalui pusat pemberian vaksin (PPV) swasta yang dikendalikan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) di sini.
“Untuk itu selepas ini kita sedang menyelaraskan program vaksin melibatkan pemandu teksi, e-hailing, pemandu bas dan penghantar barangan p-hailing pula,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke PPV Sektor Pengangkutan (Maritim) di Dewan Kelab Sukan LPK di sini.
Turut hadir Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.
Ka Siong memberitahu, program PPV swasta di LPK akan melibatkan 10,000 pelaut dan petugas pelabuhan dengan kapasiti pengendalian PPV adalah seramai 1,000 orang sehari.
“Syarikat-syarikat pengangkutan terlibat dengan program ini akan menanggung secara bersama kos penyediaan PPV manakala bekalan vaksin diberikan secara percuma oleh kerajaan.
“LPK juga bertindak sebagai penyelia bagi petugas pelabuhan manakala Kumpulan Wang Pusat Perdagangan Laut (KWPPL) melalui Jabatan Laut Malaysia (JLM) menyelia bagi pelaut,” jelasnya.
Beliau berkata, program pemberian vaksin seterusnya akan melibatkan sektor pengangkutan udara yang dijangka bermula 5 Julai melibatkan 22,243 petugas lapangan terbang, kakitangan syarikat penerbangan dan petugas kargo di Bangunan Terminal Utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Jelasnya, bagi pengangkutan awam darat pula, PPV akan dibuka di beberapa lokasi di seluruh negara bagi memastikan 19,259 petugas rel dan pemandu bas dapat diberikan vaksinasi dalam masa terdekat.
“Sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sektor pengangkutan merupakan perkhidmatan perlu yang terus beroperasi 24 jam sehari dalam memastikan kelangsungan hidup rakyat selain memastikan pergerakan barangan dan penumpang tidak terjejas,” katanya.










