PPV Bergerak sasar pemberian vaksin kawasan pedalaman - Utusan Malaysia

PPV Bergerak sasar pemberian vaksin kawasan pedalaman

ISMAIL Lasim (tengah) dan Mohd. Faizal Abdul Manap (kanan) melihat proses vaksinasi kepada penduduk Mukim Ulu Jempol menerusi penggunaan PPV Bergerak di Kem Pusako, Sungai Jelutong, Juasseh, Kuala Pilah. - UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak Kuala Pilah yang menyasarkan pemberian vaksin kepada orang ramai di kawasan pedalaman di daerah ini, kini beroperasi di Kem Pusako Sungai Jelutong, Juasseh dekat sini.

Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd. Faizal Abdul Manap berkata, selepas beroperasi di Felda Kepis dan di Seri Menanti, seramai 1,000 orang penduduk dari Mukim Ulu Jempol di sini dijangka menerima vaksin Covid-19 menerusi PPV Bergerak itu sehingga 2 Julai depan.

“Sasaran kita mereka yang menerima vaksin adalah warga emas dan individu komorbid.

“Program selama lima hari ini melibatkan penduduk kampung sekitar iaitu antaranya Kampung Sungai Jelutong, Kampung Terentang, Kampung Jerjak, Kampung Padang Lebar, Kampung Sungai Talan, Kampung Keru, Kampung Tapak, Kampung Tampin Pus dan Kampung Majau,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Juasseh, Datuk Ismail Lasim; Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Ghani dan Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Pilah, Dr. Noraliza Radzali.

Sementara itu, Ismail berkata, sambutan yang diterima daripada penduduk amat baik dan program ‘outreach’ yang dilaksanakan menerusi PPV Bergerak tersebut dapat mempercepatkan lagi proses pemberian vaksin Covid-19.

“Saya difahamkan seramai 200 individu akan menerima vaksin sehari menerusi PPV Bergerak ini. Di pedalaman, saya lihat program seperti ini amat baik untuk dilaksanakan mengambil kira pelbagai kekangan dihadapi penduduk,” katanya.

Dalam pada itu, warga emas, Jariah Osman, 90, dari Kampung Ghalib dekat sini mengakui teruja untuk menerima vaksin Covid-19 selepas dimaklumkan oleh anaknya sejak seminggu lalu.

“Anak-anak yang daftarkan saya untuk menerima vaksin, selepas menerima suntikan, saya tidak rasa apa-apa sakit pun,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN