PPN: Kaji sektor terkesan secara menyeluruh - Utusan Malaysia

PPN: Kaji sektor terkesan secara menyeluruh

PENUTUPAN premis perniagaan untuk satu tempoh yang terlalu panjang bukan sahaja menyebabkan peniaga terkesan, malah pekerja mereka turut merasakan keperitan terutama jika dibuang kerja atau dipotong gaji.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu melakukan kajian menyeluruh ke atas sektor-sektor yang terkesan bagi memantapkan Pelan Pemulihan Negara (PPN), seterusnya memberi gambaran arah tuju negara kepada para pelabur.

Perkara ini penting kerana kemandirian setiap sektor adalah kritikal dan mempunyai sifat serta undang-undang tersendiri.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pelan yang diumumkan kerajaan menyasarkan situasi lebih baik menjelang hujung tahun ini dan tidak mengandaikan gelombang baharu jangkitan Covid-19.

Jelasnya, keadaan itu menjadi penunjuk arah secara am terhadap pelan kerajaan terutamanya fokus kepada sektor kesihatan yang lebih utama berbanding sektor ekonomi.

“Oleh itu, kerajaan perlu meneliti tahap setiap sektor menerusi kerjasama dengan kementerian masing-masing. Bagi sektor yg menerima kesan positif harus dibantu untuk meningkatkan prestasi sedia ada seterusnya menyumbangkan kepada ekonomi negara.

“Dengan cara ini, barulah pelabur-pelabur terutama untuk pelaburan langsung asing (FDI) dapat memahami arah tuju berdasarkan pelan pemulihan setiap sektor ekonomi negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Ujar Aimi Zulhazmi, kerajaan juga perlu merangka pelan sandaran sekiranya kadar jangkitan negara berpatah balik ke posisi sebelumnya.

“Tempoh pemulihan sehingga akhir tahun dalah berdasarkan data semasa sahaja. Namun jika berlaku sebaliknya, sektor ekonomi domestik terus bergerak lesu selari dengan sekatan yang dilaksanakan membuatkan rakyat tertekan berikutan kekurangan pendapatan.

“Jadi, pendapat saya institusi perbankan negara perlu melonggarkan syarat pinjaman perniagaan kerana kecairan tunai akan membantu dalam tempoh ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Ekonomi Pusat Penyelidikan Pasaran Buruh Masa Hadapan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Prof. Madya Dr. Mohd. Yusof Saari menjelaskan, PPN penting bagi memastikan semua pihak jelas berkenaan perancangan yang diambil oleh kerajaan seterusnya mengurangkan ketidaktentuan yang boleh meningkatkan kos kepada ekonomi. 

“Dari segi pelaburan, pelan ini membantu sebahagian aspek perencanaan aktiviti-aktiviti pelaburan pada masa hadapan kerana para pelabur boleh mempertimbang untuk memulakan pelaburan di Malaysia pada atau selepas fasa keempat  pada November dan Disember setelah sektor ekonomi dan sosial dibuka sepenuhnya. 

“Dalam tadbir urus ekonomi ketika krisis pandemik sebegini, kedua-dua pertimbangan kesihatan dan ekonomi perlu seimbang. Keempat-empat fasa pemulihan ini akan memberi impak dan implikasi berbeza kepada indikator-indikator ekonomi. 

“Saya berharap kerajaan juga memberi perhatian kepada penanda aras ekonomi dengan melihat kepada indikator-indikator seperti kadar kehilangan pekerjaan dan kadar penutupan perniagaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya