PETALING JAYA: Satu siasatan dijalankan Polis Diraja Malaysia berhubung kes seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun disyaki dipukul rakan sekolah di sebuah pangsapuri dekat Kelana Jaya, di sini semalam.
Siasatan itu dilakukan susulan penularan sebuah video berdurasi dua minit 20 saat yang tular di media sosial menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan dipukul, ditendang serta ditarik rambut seorang remaja perempuan di tangga sebuah pangsapuri.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, satu laporan dibuat mangsa yang cedera di kepala dan badan kira-kira pukul 9.26 malam pada hari sama.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada pukul 4 petang berpunca daripada suspek perempuan berusia 13 tahun yang cemburu hubungan mangsa dengan abang angkat.
“Rakan suspek turut merakam kejadian itu dan menularkannya menerusi aplikasi WhatsApp dan Instagram.
“Semua suspek kes dikenal pasti untuk dirakam keterangan dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Mohamad Fakhrudin, orang awam dinasihatkan untuk tidak menularkan rakaman video kejadian itu kerana ia masih dalam siasatan. – UTUSAN ONLINE










