PKP: Berkebun, cuba resipi baharu petua elak stres - Utusan Malaysia

PKP: Berkebun, cuba resipi baharu petua elak stres

ZHOORIYATI SEHU MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beberapa kaedah psikologi boleh diamalkan seseorang individu yang mungkin berdepan masalah kemurungan dan stres di tengah-tengah kes jangkitan harian Covid-19 masih berada pada tahap membimbangkan.

Pakar psikologi dari Universiti UCSI, Prof. Dr. Zhooriyati Sehu Mohamad berkata, seseorang boleh melakukan pendekatan psikologi positif yang diperkenal pakar psikologi terkemuka, Martin Seligman, untuk mencapai kebahagiaan dalam jangka masa panjang.

“Pertama, seseorang perlu melatih minda untuk berfikiran positif kerana kajian saintifik menunjukkan pemikiran positif mengelakkan seseorang daripada masalah mental, gangguan kesihatan yang melibatkan kardiovaskular, merapatkan hubungan, mengecapi kejayaan dan hidup lebih lama.

“Seseorang juga boleh melakukan hobi yang disukai seperti berkebun, mencuba resipi masakan baharu serta bersenam malah berkongsi pandangan atau masalah dengan seseorang yang dipercayai juga boleh diamalkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, beliau berkata, orang ramai juga digalakkan untuk merapatkan hubungan melalui panggilan telefon atau video ketika menjalani perintah kuaratin atau sedang berjauhan dengan keluarga dan rakan.

“Mungkin ada berasa tempoh kuarantin yang lama itu menyesakkan ditambah dengan tekanan ekonomi yang berterusan memang boleh menyebabkan gejala stres, kegelisahan atau bahkan kemurungan.

“Jika serumah boleh buat aktiviti bersama seperti memasak atau menyanyi, bagi yang berjauhan dengan keluarga dan rakan juga masih boleh buat aktiviti bersama-sama secara maya dan menjadikannya lebih menarik dan menyeronokkan.

“Justeru, cara terakhir ialah kembali merenung dan mencari makna kehidupan kerana pada akhirnya, kepercayaan atau agama dan kerohanian memberi makna yang mendalam kepada setiap individu,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Ketua Jabatan Psikologi Fakulti Sains Sosial dan Seni Liberal UCSI turut menjelaskan kekeliruan antara stres, kegelisahan dan kemurungan yang mungkin masih disalah tafsir.

Katanya, stres merupakan reaksi yang tidak spesifik disebabkan sesuatu bebanan yang menimpa diri manakala gelisah merujuk kepada sistem amaran tubuh ketika seseorang merasa terancam.

 

Antara lain katanya, kegelisahan juga berlaku apabila seseorang berada di bawah tekanan atau menghadapi situasi yang membuatkannya stres serta tidak tenang.

“Kemurungan pula didiagnosis secara klinikal dan bukan perasaan sedih yang biasa yang merupakan penyakit perubatan melibatkan perasaan sedih berpanjangan serta menjejaskan fungsi harian seseorang.

“Biasanya ia akan bermula dengan stres atau kegelisahan kemudian mendorong kepada kemurungan jika tidak dikawal atau menerima rawatan yang sepatutnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya