Perlimen dijangka bersidang Ogos - Utusan Malaysia

Perlimen dijangka bersidang Ogos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persidangan Parlimen secara hibrid boleh diadakan sekitar akhir Ogos ataupun minggu pertama September tahun ini.

Dalam satu kenyataan bersama Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan, sedikit tempoh diperlukan untuk menjalankan sidang Parlimen secara hibrid.

“Sidang Parlimen secara hibrid ini memerlukan masa untuk dijayakan kerana beberapa aspek persiapan seperti perundangan, pentadbiran, teknikal, perolehan, bekalan serta latihan perlu diperkemaskan terlebih dahulu untuk memastikan kelancaran pelaksanaannya.

“Hal-hal persiapan telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri selaku Ketua Majlis bagi Jawatankuasa Khas Pemandu Persidangan Parlimen Secara Hibrid. Mengambil kira keperluan di atas, sidang Parlimen secara hibrid boleh diadakan sekitar akhir Ogos ataupun selewat-lewatnya minggu pertama September ini,” jelasnya dalam kenyataan tersebut.

Jawatankuasa Khas tersebut menjangkakan semua aspek perundangan dapat diselesaikan pada akhir bulan depan sekiranya diluluskan di peringkat Jawatankuasa Dewan dan Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Mesyuarat.

Kenyataan itu menyebut, dengan andaian itu, adalah dicadangkan agar satu Sidang Khas Parlimen diadakan pada awal Ogos tertakluk kepada syarat-syarat ketat pencegahan penularan Covid-19 yang dikuatkuasakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

“Sidang Khas itu penting untuk memastikan semua Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perincian mengenai hal-hal resolusi yang diperlukan untuk diterima pakai berkaitan perancangan mengadakan sidang Parlimen secara hibrid.

“Hal ini merangkumi pindaan ke atas Peraturan Mesyuarat, takrif-takrif persidangan maya, penyelarasan tanggungjawab ahli Parlimen serta perkara-perkara teknikal yang berkaitan,” katanya.

Sedikit masa diperlukan oleh Parlimen untuk memperoleh bekalan, mengintegrasi sistem persidangan hibrid dengan sistem sedia ada, ujian (trial-run), pentauliahan dan juga Latihan kepada petugas dan juga ahli-ahli Parlimen.

Kenyataan itu juga menjelaskan, persidangan hibrid itu melibatkan kehadiran fizikal sekurang-kurangnya 26 ahli Dewan Rakyat untuk menepati kehendak korum di Dewan Rakyat dan 10 ahli Senator di Dewan Negara.

Ahli-ahli Parlimen selebihnya mempunyai pilihan sama ada untuk hadir secara fizikal yang juga tertakluk kepada sebarang syarat mesyuarat yang dikenakan MKN atau Kementerian Kesihatan pada masa persidangan ataupun turut menghadiri persidangan secara maya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN