PETALING JAYA: Seorang lelaki warga Amerika Syarikat, Scott Barry Uchida diusir pihak berkuasa Malaysia kerana dikehendaki negara asalnya atas kesalahan jenayah termasuk culik, samun dan rogol.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di Kepong, dekat sini oleh Bahagian Jenayah Berat (D9) Bukit Aman pada 21 April lalu.
“Tangkapan itu dijalankan selepas Biro Siasatan Persekutuan (FBI) meminta bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) setelah lelaki itu menjadi buruan yang dikehendaki dalam beberapa jenayah.
“Suspek diserahkan kepada Jabatan Imigresen dan diusir keluar pada Rabu lalu di Lapangan Terbang Subang untuk diserahkan pada FBI,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Terdahulu, FBI Seattle dalam satu kenyataan yang dilaporkan agensi berita, yaktrinews.com mendakwa, Scott Barry dicari kerana melakukan pemerkosaan kanak-kanak tahap dua, mempromosikan penderaan seksual terhadap kanak-kanak di bawah umur tahap dua dan pemerkosaan kanak-kanak tahap ketiga di King County.
Menurut FBI Seattle, Jabatan Polis Kirkland mula membuka kertas siasatan pada Januari 2018 atas dakwaan eksploitasi seksual komersial, pemerkosaan dan pemenjaraan yang tidak sah terhadap tiga remaja antara 2015 hingga Januari 2018.
Seorang mangsa yang berusia 15 tahun melaporkan kepada Jabatan Polis Kirkland bahawa dua lelaki merogolnya, memaksanya melakukan pekerjaan seks dan merekrut orang lain.
Mangsa mendakwa mula mengenali Uchida melalui aplikasi media sosial, meetme.com ketika dia baru berusia 12 tahun sebelum bertemu dan dibawa ke sebuah pangsapuri.
Pada Mac lalu, Jabatan Polis Kirkland meminta bantuan FBI Seattle untuk mencari Uchida yang dikesan sudah melarikan diri dari negara itu.
FBI Seattle berterima kasih kepada PDRM, Jabatan Imigresen dan Kedutaan Besar AS di Kuala Lumpur kerana menyelaraskan penghantaran Uchida ke AS untuk dihadapkan ke mahkamah di King County. – UTUSAN ONLINE