Penembusan Terowong Dungun berjaya dilaksana enam bulan lebih awal - Utusan Malaysia

Penembusan Terowong Dungun berjaya dilaksana enam bulan lebih awal

PEKERJA ECRL di Terowong Dungun, Terengganu memegang kain rentang bagi menyambut kejayaan penembusan terowong tersebut yang berjaya dilaksanakan lebih awal daripada jadual. - Ihsan ECRL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) membuktikan keupayaannya apabila berjaya melaksanakan penembusan Terowong Dungun, Terengganu sepanjang 871 meter dalam tempoh enam bulan lebih awal daripada jadual asal. 

Kejayaan itu ditandakan dengan letupan terakhir di terowong itu pada 29 Mei lalu menembusi halangan yang terletak 12 meter dari pintu masuknya. 

Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, kejayaan itu adalah hasil usaha keras dan kerjasama kira-kira 100 kakitangan ECRL dalam melaksanakan kerja-kerja pembinaan supaya terowong siap sepenuhnya pada suku kedua tahun depan.

Ujarnya, kerja keras warga ECRL termasuk jurutera, perancang dan pekerja pembinaan di Terowong Dungun harus dipuji kerana kerja-kerja terowong yang telah digali sedalam 98,111 meter padu tanah dan batuan berjaya dilakukan secara selamat dengan pergerakan tanah yang minimum.

“Dengan prestasi memberangsangkan ini, Terowong Dungun dijangka siap beberapa bulan lebih awal sekiranya tiada perkara-perkara yang melewatkan proses pembinaan berlaku,” katanya dalam kenyataan dekat sini semalam.

Projek ECRL mempunyai 58 buah terowong yang dengan panjang dan landskap yang berbeza untuk dibina di sepanjang seksyen-seksyen jajaran ECRL sepanjang 665 kilometer. 

Kerja-kerja penggalian Terowong Dungun telah mencapai tahap kemajuan 97.4 peratus sebelum aktiviti penembusan dilakukan, sementara lapisan kekal terowong  mencapai kemajuan memberangsangkan iaitu 702 meter panjang. 

Menurut Mohd. Zuki, kerjasama yang padu dan perkongsian pengetahuan antara MRL dan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) akan melancarkan kerja-kerja penggalian terowong seterusnya. 

“Kami berbangga kerana projek ECRL masih mencapai tahap kemajuan lebih awal daripada dijadualkan sebanyak 22.62 peratus pada Mei lalu walaupun waktu bekerja dan tenaga kerja di tapak pembinaan terpaksa dikurangkan dalam keadaan pandemik.

Sementara itu, Pengarah Urusan CCC-ECRL, Bai Yinzhan yang juga merupakan kontraktor kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pelaksanaan projek (EPCC) yakin kakitangan ECRL dapat melakukan kerja dengan baik walaupun di bawah pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Kakitangan kami telah memberikan usaha yang berterusan terhadap kontraktor-kontraktor tempatan dan rakan kongsi projek bumiputera bagi memastikan ketersediaan tenaga kerja, bahan-bahan dan jentera-jentera binaan apabila diperlukan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.