Pemandu lori tangki LPG maut nahas lima lori - Utusan Malaysia

Pemandu lori tangki LPG maut nahas lima lori

ANGGOTA bomba menjalankan operasi mengeluarkan pemandu lori yang tersepit dalam kemalangan di Kilometer 288.7, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di Ipoh. - UTUSAN/IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pemandu lori tangki gas petroleum cecair (LPG) maut apabila kenderaan dipandunya terbabit dalam kemalangan melibatkan empat lori lain di Kilometer 288.7, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 malam itu, mangsa, Ahmad American Ahmad, 42, yang parah maut di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintenden Azizan Hassan berkata, siasatan awal mendapati lori tangki dipandu mangsa hilang kawalan lalu melanggar belakang sebuah lori lain hingga menyebabkan kenderaan berat itu menggelongsor melanggar tiga lori lain yang berada di hadapan.

Katanya, mangsa yang tersepit dalam kenderaan mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

“Dalam nahas itu, dua pemandu lori termasuk kelindan berusia 47, 27 dan 24 tahun mengalami sakit dada, sakit tangan dan kecederaan di kaki manakala dua pemandu lori tidak cedera.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan mereka yang cedera turut menerima rawatan di hospital sama,” katanya.

Menurut Azizan, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengetahu punca kemalangan dan kenderaan terlibat akan dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan lanjut.

“Siasatan diteruskan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, operasi menyelamatkan mangsa dijalankan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai.

Katanya, anggota menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit setelah pillar pada lori dipotong dan direnggangkan.

“Kerja-kerja menyelamatkan juga dibantu Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) bagi mengesan kebocoran pada lori tangki LPG namun didapati tiada sebarang kebocoran,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.