GEORGETOWN: Selepas hampir seminggu ditutup ekoran berlaku kes positif Covid-19, Pasar Awam Jalan Perak di sini kembali dibuka kepada orang awam.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, pasar berkenaan dibuka semula selepas kesemua peniaga mematuhi prosedur yang ditetapkan termasuk menjalani ujian saringan Covid-19.
“Terdapat 69 peniaga di sini dan kesemua mereka telah menjalani ujian saringan yang mana 58 kes adalah negatif Covid-19 manakala 11 lagi peniaga dikesan positif.
“Peniaga yang disahkan positif Covid-19 diarahkan menjalani kuarantin dan peniaga yang lain dibenarkan untuk memulakan kembali perniagaan hari ini,” katanya di sini.
Pada 11 Jun lalu, Pasar Awam Jalan Perak itu diarahkan ditutup selepas terdapat kes positif Covid-19 dikesan melibatkan peniaga di kawasan berkenaan.
Perintah penutupan itu dikeluarkan Kementerian Kesihatan di bawah Seksyen 18(1)(f), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Menurut Jagdeep, arahan penutupan pasar itu bukan satu perkara yang mudah untuk dilaksanakan terutama ketika para peniaga kecil berdepan dengan tekanan ekonomi akibat pandemik Covid-19.
“Tetapi untuk menjaga keselamatan awam dan semua pihak, kita perlu ambil tindakan awal dengan arahkan tutup premis buat sementara,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, sepanjang pandemik Covid-19 ini bermula Mac tahun lalu, lebih satu juta pemeriksaan di premis awam dijalankan oleh anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
“Dalam tempoh ini juga, kira-kira enam pasar awam diarahkan ditutup di kawasan pulau dan Seberang Perai kerana kita tidak akan berkompromi jika terdapat sebarang ketidakpatuhan pada prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19,” katanya.










