PETALING JAYA: Sepanjang tempoh penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ fasa pertama di seluruh negara bermula hari ini, perkhidmatan melibatkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan dibuat secara dalam talian.
Menurut kenyataan MBPJ, inisiatif itu merupakan salah satu kemudahan kepada pelanggan untuk berurusan dengan pihak MBPJ.
Sebanyak 19 perkhidmatan yang terlibat di dalam sistem dalam talian termasuk Sistem Aduan Online, eCommerce, Karung Kitar, Sistem eLesen, eMBPJ dan Smart Selangor Parking.
“Ini bertujuan bagi memudahkan urusan orang ramai dan ia menjadi keutamaan MBPJ menyediakan urusan melalui talian di samping mematuhi arahan kerajaan berkaitan PKP.
“Orang ramai amat digalakkan melayari media sosial rasmi MBPJ iaitu di Facebook Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Instagram dan twitter ‘pjcitycouncil’ serta laman sesawang MBPJ www.mbpj.gov.my.
“Marilah sama-sama kita mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan agar wabak Covid-19 ini dapat ditangani bersama khususnya di Selangor dan Malaysia amnya. Semoga kita semua dilindungi dan dijauhkan daripada wabak Covid-19 ini,” jelas kenyataan tersebut.