LIPIS: Empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di daerah ini membuat laporan polis terhadap pemilik akaun media sosial Twitter menggunakan nama @imnsfeaz kerana didapati memperlekehkan institusi diraja dengan bahasa yang tidak sopan.
NGO tersebut iaitu Persatuan Silat Lipis, Majlis Belia Felda Malaysia cawangan Kechau Satu dan Kelab Jejak Benua Negeri Pahang serta Pergerakan Pemuda UMNO Pahang.
Wakil pertubuhan tersebut yang juga Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd. Farid Mohd. Nor berkata, pihaknya menyifatkan pelaku tersebut biadab berikutan mengeluarkan kata yang tidak sopan menerusi ciapannya bagi tujuan menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama kaum kerabat diraja negeri ini.
“Pelakunya tidak beretika sehingga sanggup menghina institusi diraja. Dalam hal ini, kita sebagai rakyat negara wajar menghormati antara satu sama lain lebih lagi pemerintah negara (Yang di-Pertuan Agong) serta raja di setiap negeri.
“Perkara ini membuatkan kami selaku rakyat Pahang amat tersinggung kerana pemerintah negeri ini dihina dan diperlekeh menerusi perkataan serta paparan gambar dalam Twitter pelaku berkenaan,” katanya selepas membuat laporan polis di sini hari ini.
Mohd. Farid yang juga Presiden Persatuan Silat Lipis berkata, laporan polis itu bertujuan supaya pihak yang terlibat dikenakan tindakan berasaskan peruntukan di bawah Akta Hasutan dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.
Dalam pada itu, wakil Kelab Jejak Benua Negeri Pahang, Ahmad Nazree Shahbudin berkata, dia terkejut apabila menerima satu kiriman gambar melalui aplikasi WhatsApp secara terang menghina kesultanan negeri ini dengan mengungkapkan kata yang langsung tidak melambangkan kesantunan orang Melayu.
“Saya percaya rakan NGO negeri ini tersinggung dengan kenyataan serta gambar yang dipaparkan dalam Twitter oleh pelaku itu sambil berharap dia (pelaku) ditahan pihak berkuasa serta dibawa ke muka pengadilan.
“Murid prasekolah dan sekolah rendah pun tahu bagaimana hendak menghormati dan menyanjungi pemerintah di negeri masing-masing termasuk Yang di-Pertuan Agong, tetapi pelaku ini sengaja menyinggung perasaan orang ramai dengan memperlekehkan sistem raja berperlembagaan,” katanya.










