Moratorium diteruskan untuk pelanggan institusi perbankan Islam - Utusan Malaysia

Moratorium diteruskan untuk pelanggan institusi perbankan Islam

Bank-bank ahli yang bernaung di bawah AIBIM terus komited untuk membantu pelanggan yang terkesan dan berdepan kesulitan untuk membuat bayaran balik pembiayaan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Institusi perbankan Islam negara akan terus membantu pelanggan yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 menerusi kemudahan bantuan bayaran balik pembiayaan. 

Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dalam kenyataan memaklumkan, pelanggan yang ingin mendapatkan bantuan bayaran balik pembiayaan hanya perlu menghubungi bank dan membuat pilihan bantuan yang bersesuaian. 

Menurut AIBIM, sejajar dengan pengumuman bantuan PKP 3.0 yang diumumkan Perdana Menteri, bantuan bayaran balik pembiayaan dibuka kepada pelanggan bagi empat kategori iaitu individu kehilangan pekerjaan dan semua golongan B40. 

“Selain itu, perusahaan mikro dengan nilai kemudahan diluluskan sehingga RM150,000 dan perusahaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP juga boleh membuat permohonan.  

“Pelanggan dalam kategori terbabit boleh memilih sama ada mendapatkan moratorium selama tiga bulan atau mengurangkan bayaran balik pembiayaan sebanyak 50 peratus selama enam bulan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan, bayaran balik pembiayaan juga diberi kepada semua pelanggan termasuk kumpulan berpendapatan sederhana (M40) dan tinggi (T20) yang mengalami pengurangan pendapatan. 

“Mereka boleh mendapatkan pengurangan bayaran balik pembiayaan selaras dengan jumlah pendapatan yang berkurang manakala penerima bantuan bayaran balik bersasar sebelum ini iaitu sehingga Jun 2021 boleh menghubungi pihak bank sekiranya masih terkesan dan memerlukan bantuan lanjutan,” jelasnya.

Persatuan itu menegaskan, bank-bank ahli yang bernaung di bawah AIBIM terus komited untuk membantu pelanggan yang terkesan dan berdepan kesulitan untuk membuat bayaran balik pembiayaan. 

“Bank juga telah merangka proses permohonan dan keperluan dokumentasi yang ringkas bagi memudahkan pelanggan. 

“Pelanggan dinasihatkan untuk terus menghubungi bank bagi mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat,” katanya.

Cawangan institusi perbankan Islam akan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh PKP 3.0, mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, melainkan dimaklumkan sebaliknya. 

Pelanggan juga dinasihatkan untuk melayari laman sesawang dan mengikuti media sosial bank untuk mendapatkan maklumat terkini.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN