Malaysia bakal keluar kitab tafsir al-Quran rasmi kedua - Utusan Malaysia

Malaysia bakal keluar kitab tafsir al-Quran rasmi kedua

ZULKIFLI Mohamad al-Bakri melakukan semakan terakhir prototaip naskhah Tafsir al-Bayan di pejabatnya di Putrajaya, semalam. – FB ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Setelah lebih 50 tahun, Malaysia sekali lagi bakal menerbitkan kitab tafsir al-Quran rasmi yang kedua dengan versi baharu itu akan dikenali pula sebagai Tafsir al-Bayan.

Perkara itu juga disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi hantaran dalam akaun sosial Facebooknya semalam.

 “Alhamdulillah, dalam tempoh 14 bulan lalu, tafsir ini berjaya disiapkan dengan izin Allah SWT. Hasrat saya jika tiada aral melintang, akan dilancarkan pada 1 Muharram 1443H,” katanya.

 Beliau turut memuat naik foto eksklusif yang menunjukkan dirinya meneliti semakan terakhir Tafsir al-Bayan keluaran Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di pejabatnya di sini.

 Usaha bersejarah itu melibatkan panel penyusun dalam kalangan pensyarah universiti awam dan kumpulan penyelidik Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Zulkifli tidak pula menyatakan sebab tarikh itu dipilih yang bersamaan pada 10 Ogos ini, namun ia mungkin bersempena sambutan Maal Hijrah dan tahun baharu takwim Islam.   

Keseluruhan naskhah dalam bahasa Melayu berkenaan melibatkan enam jilid dan merupakan projek tafsir kedua yang diterbitkan kerajaan Malaysia selepas Tafsir Pimpinan Al-Rahman.

 Versi edisi sulung itu dihasilkan oleh tokoh agamawan terkenal tempatan berketurunan Yaman kelahiran Makkah, Sheikh Abdullah Muhammad Basmeih pada akhir dekad 1960-an lalu.

 Diterbitkan asalnya dalam tulisan jawi pada 1972 dan kemudian tulisan rumi pada 1980, ia dinamakan Al-Rahman bersempena nama Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman.

 Ia susulan keputusan Majlis Raja-Raja pada 1963 dan ulama itu dipilih kerana berpengalaman luas menterjemah karya bahasa Arab untuk akhbar popular bertulisan jawi, Utusan Melayu.

 Selain aktif sebagai penulis di syarikat itu di Kuala Lumpur, beliau juga berjasa kerana banyak menghasilkan kitab agama antaranya Mastika Hadith dan Sejarah Hidup Nabi Muhammad.

Tafsir Pimpinan Al-Rahman turut menjadi panduan utama umat Islam di rantau Nusantara selain kitab pengajian untuk pelajaran Pendidikan Islam peringkat sekolah menengah negara ini.

 Bagaimanapun ada terkeliru menyangka ia merujuk nama Surah Ar-Rahman, sedangkan ia dieja Al-Rahman sebagai penghargaan atas jasa Almarhum Tunku selaku Bapa Kemerdekaan.

 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut menerbitkan Tafsir Pimpinan Al-Rahman versi tulisan Braille bagi golongan orang kurang upaya penglihatan agar mahir menguasai al-Quran.

 Agensi itu turut melancarkan kitab tafsir ini dalam versi bahasa Mandarin untuk komuniti Cina termasuk bukan Muslim menerusi inisiatif pada 2007 bagi menyantuni kaum minoriti tersebut. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya