Lelaki mabuk rempuh kawat duri - Utusan Malaysia

Lelaki mabuk rempuh kawat duri

RAKAMAN video keadaan motosikal yang ditinggalkan setelah merempuh kawat duri di Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 2 di Ipoh. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Gara-gara menunggang motosikal dalam keadaan mabuk, seorang lelaki cedera selepas merempuh kawat duri yang dipasang di satu lokasi di Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 2, di sini.

Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 2 di Gugusan Manjoi bersama dua kampung lain iaitu Kampung Jelapang Baru dan Kampung Sungai Tapah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini hingga 19 Jun depan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, laporan polis dibuat oleh anggota setelah melihat video tular sebuah motosikal melanggar kawat duri dalam kawasan PKPD di Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 2.

Katanya, laporan polis itu dibuat kerana melibatkan harta kerajaan.

“Berdasarkan maklumat, kita telah ke sebuah rumah dan mendapati motosikal dalam video tular itu ada di rumah berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati, ada seorang lelaki berusia 34 tahun sedang terbaring di atas tilam dengan keadaan luka-luka di badan,” katanya di sini.

Menurutnya, berdasarkan temu bual, lelaki terbabit memaklumkan kejadian itu berlaku kira-kira pukul 5 pagi dan dia menunggang motosikal seorang diri dalam keadaan mabuk untuk pergi ke rumah rakan.

Katanya, lelaki itu yang terjatuh setelah melanggar kawat duri telah meninggalkan motosikal dan balik ke rumah dengan berjalan kaki.

“Lelaki yang bukan penduduk kawasan itu memberitahu yang dia tidak tahu kawasan berkenaan telah diisytiharkan sebagai kawasan PKPD.

“Lelaki itu mengalami luka-luka di kaki dan tangan dan telah nasihatkan untuk mendapatkan rawatan di hospital. Siasatan lanjut sedang dijalankan ke atas kes berkenaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN