Lelaki beristeri tiga tak mengaku pukul isteri muda - Utusan Malaysia

Lelaki beristeri tiga tak mengaku pukul isteri muda

ROSMAINI Abd. Rauf (kanan) dibawa ke mahkamah atas pertuduhan mencederakan isterinya di Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang beristeri tiga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memukul isteri ketiganya yang hamil sehingga koma dalam kejadian awal bulan lalu.

Tertuduh, Rosmaini Abd. Raof, 38, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim V. M. Mabel Sheela.

Mengikut pertuduhan, peniaga tersebut didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap isterinya, Jahidah Nordin@Sylvester, 43.

Dalam pertuduhan itu, tertuduh didakwa memukul mangsa di bahagian kepala, muka dan tangan serta menghentakkan kaki pada bahagian belakang tangan yang menyebabkan kecederaan parah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah pangsapuri di Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin di sini pada pukul 6 pagi, 4 Mei lalu.

Bagi perbuatan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda serta Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sulehan Abd. Rahman menawarkan jaminan sebanyak RM30,000.

Tertuduh bagaimanapun membuat rayuan supaya jaminan dikurangkan atas alasan mempunyai tanggungan tujuh orang anak serta tiga isteri.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan dua orang penjamin dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan selain tidak boleh mengganggu mangsa.

Tarikh sebutan semula pertuduhan adalah pada 25 Julai ini. 

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang kakitangan awam terpaksa bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini selepas dipercayai dibelasah suaminya dengan kejam. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya