Lebih banyak masalah timbul jika wujudkan Mageran, kata dua pakar perundangan - Utusan Malaysia

Lebih banyak masalah timbul jika wujudkan Mageran, kata dua pakar perundangan

ABDUL HAMID MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran) seperti yang dicadangkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad akan menimbulkan lebih banyak masalah baharu berbanding menyelesaikan masalah yang dihadapi negara ketika ini.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan pensyarah undang-undang, Prof. Datuk Dr. Shamrahayu A. Aziz dalam satu catatan menyifatkan, Mageran tidak boleh ditubuhkan dengan begitu sahaja oleh Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya perlu melalui beberapa proses terlebih dahulu.

“Persoalan yang timbul ialah, apakah punca kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan Mageran? Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 tidak menyebut mengenai penubuhan Mageran.

“Justeru, kami berpendapat, untuk menubuhkan Mageran, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 perlulah ditamatkan dan digantikan dengan peruntukan yang baharu kerana ordinan tidak menyatakan penubuhan Majlis seumpama itu. Atau, sebagai pilihan, ordinan ini perlulah dipinda,” katanya.

Mereka juga menganggap terdapat perbezaan ketara Mageran yang dicadangkan DR. Mahathir dengan Mageran yang ditubuhkan pada 1969.

“Sebagai contoh, Mageran 1969 ditubuhkan semasa kerajaan belum dilantik akibat tragedi 13 Mei tersebut berlaku sejurus selepas pilihan raya diadakan.

“Mageran pada 1969 berfungsi seumpama menggantikan Kerajaan. Proklamasi Darurat 2021 dan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 tidak menggantikan kerajaan yang sedia ada,” katanya.

Jelasnya, berlainan dengan Proklamasi Darurat 1969, seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 memperuntukkan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Tugas-tugas khas yang diberikannya adalah luas, bukanlah sekadar mengurangkan serangan wabak Covid-19. Di mana letaknya sempadan bidang kuasa Kerajaan dan bidang kuasa Mageran?” soalnya.

Mereka juga mempersoalkan bagaimana Mageran akan meperoleh dana untuk melaksanakan tugas-tugasnya.

“Katakanlah, kerajaan menuruti nasihat Peguam Negara bahawa penubuhan Mageran itu tidak sah, dan oleh itu, adalah salah bagi kerajaan memberi dana untuk membiayai aktiviti Mageran, oleh itu, kerajaan enggan memberi dana kepada Mageran, bagaimana Mageran akan berfungsi?

“Dikatakan, Mageran tidak akan diletakkan di bawah kerajaan, sebaliknya melaporkan terus kepada Yang di-Pertuan Agong. Apa akan dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong selepas menerima laporan atau keputusan Mageran? Jika dana diperlukan, masalah yang disebut sebelum ini mungkin timbul,” katanya.

Kewujudan Mageran juga kemungkinan akan meletakkan semua kuasa eksekutif yang dijalankan oleh Perdana Menteri, Kabinet dan Menteri-Menteri, kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Memandangkan di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, kerajaan, Kabinet dan menteri masih berfungsi, ia boleh menimbulkan persoalan bahawa akan wujud dua “kerajaan” pada masa yang sama.

“Tidakkah ia akan bercanggah dengan konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang berjalan seiring dan pada masa sama meletakkan bidang tugas masing-masing antara keduanya?” katanya.

Bagaimanapun, mereka berkata Mageran tidak perlu diwujudkan semata-mata untuk mengadakan sidang Parlimen.

“Ini boleh dilakukan di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021. Yang di-Pertuan Agong boleh memanggil Parlimen untuk bersidang (Seksyen 14 (1)(b) Ordinan Darurat) dan laporan mengenai Covid-19 yang disediakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh dibentangkan di Parlimen,” katanya.

SHAMRAHAYU A. AZIZ

Mereka juga meragui mengenai ketelusan Mageran jika ia ditubuhkan kerana ahli-ahli majlis mungkin orang yang sama dilantik dari kerajaan sedia ada, sedangkan orang-orang yang layak boleh dicadangkan untuk menganggotai mana-mana task force di bawah MKN.

“Antara ahli-ahli yang dicadangkan termasuklah beberapa tokoh politik yang tidak bertindak mewakili parti. Persoalannya, siapakah mereka? Akhirnya, kita hanya menggantikan tokoh politik kerajaan (Perdana Menteri) dengan tokoh politik lain, mungkin, wakil pembangkang.

“Dikatakan tidak ada politik dalam Mageran. Jika ada tokoh politik, baik dari pihak kerajaan atau pembangkang, tidak dapat tidak pertimbangan politik akan diambil kira. Bagaimana hendak menghalangnya, apatah lagi sekiranya jawatankuasa (baik apa pun namanya) itu dipengerusikan oleh seorang ahli politik? Kami berpendapat cadangan tersebut akan mencelarukan lagi keadaan,” katanya.

Justeru, mereka mendapati tidak ada keperluan untuk menubuhkan satu lagi agensi seperti Mageran.

“Nampaknya yang hendak diganti ialah pengerusinya dengan tokoh politik lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya