Lagu buat pemimpin korup - Utusan Malaysia

Lagu buat pemimpin korup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA masih ingat dalam satu gig yang menggabungkan kugiran pelbagai genre, ada peminat punk mencebik ketika Orkes A. Hizadin buat persembahan.

Ucapan permulaan lazim Amirudin sebelum menyanyikan lagu Rezeki memang agak cringe buat sesetengah orang. Lagu untuk lelaki-lelaki yang kecewa dengan cinta, katanya.

Namun, bukan takat itu sahaja Orkes A. Hizadin. Betul, mereka popular dengan lagu cinta. Betul, gaya dan penampilan mereka tidak rock apatah lagi punk. Tapi mereka ada 2.6 Bintang dan Korupsi Hati Besi.

Kedua-dua lagu ini membawa mesej dan getaran yang sama: tentang kekecewaan rakyat yang kesusahan akibat perilaku pemerintah. Sindirannya tajam dan terus-terang. Kedengaran punk, bukan?

Mungkin nama mereka naik kerana lagu cinta. Menunggu yang menampilkan Ainina Hasnul sudah lebih 1.5 juta kali distrim di Spotify. Video muziknya sudah lebih 800,000 kali ditonton di Youtube.

Kejayaan, sebuah lagu motivasi yang berpotensi menggantikan Gemuruh sebagai lagu orientasi universiti juga mendapat sambutan. Merajuk dan Remaja terpilih sebagai runut bunyi drama.

Tetapi mengapa di sebalik diskografi pop, ada terselit lagu berontak?

“Bergantung kepada seberapa besar dan lama impak ke dalam hidup kami. Kalau sampai bertahun dan mengganggu emosi serta kesihatan mental sampai kena buat lagu, kami buat.”

Itu jawapan Amirudin apabila saya tanya, akan buat lagu sebegitu lagi selepas ini? Amirudin tidak berselindung, malah mengakui kugirannya mengeluarkan lagu Korupsi Hati Besi bulan lalu kerana situasi semasa berkenaan politik dan pentadbiran negara.

“Sebagai rakyat marhaen, tiada siapa mampu bersabar lagi dalam tempoh kuarantin paling lama dan tidak berkesudahan.

“Lagu ini ditulis khas buat pemimpin korup. Tidak kira latar belakang. Siapa makan cili, dia terasa pedas,” katanya.

Lagu ini dilancarkan bersama set cenderamata berupa baju dan beg jinjing yang dihiasi lukisan bangunan Parlimen, bunga raya dan bendera not RM100.

Lirik lagu ini bukan sekadar luahan. Ia boleh jadi ditulis selepas renungan mendalam yang disalut kecewa tentang isu korupsi negara.

Amirudin mengalunkan, “rasuah sudah biasa, darah dagingnya”. Juga, di bahagian korus, “korupsi sang hati besi, bagi makan anak bini, masuk ke poket sendiri. Korupsi sang hati besi, bila bertemu Ilahi belilah syurga kamu sendiri.”

Saya cuba mengorek, apakah hati besi yang dimaksudkan dalam lagu ini? Amirudin menjawab, “hati sekeras besi yang hanya akan dileburkan dengan api neraka.”

Hipotesis bahawa pelaku korupsi melakukannya kerana beranggapan bahawa ia normal bukanlah asing. Tindak korupsi paling agung adalah yang telah merosakkan seluruh sistem namun masih kelihatan elok. Dengan itu, sang pelaku boleh mempertahankan tindakannya tanpa peduli, kesannya akan muncul bertahun-tahun akan datang.

Dengan tindakan korupsi yang berulang, hati pelaku jadi keras macam besi. Racun korupsi mengalir menjadi darah daging. Tiada kutukan atau nasihat yang boleh menerobos masuk maka ubatnya hanya api neraka.

Lagu sebegini perlu dicipta lebih banyak penyanyi atau kugiran kerana industri muzik sendiri pastinya terkesan dengan tindakan korupsi.

Seperti dikongsikan Amirudin, ada antara mereka mengharapkan dana daripada pihak kerajaan untuk menghasilkan sesuatu projek. Namun kerana korupsi, dana itu terpaksa melalui banyak lapisan.
“Akhirnya bajet yang kita dapat tak berbaloi dengan apa yang kita buat,” katanya.

Itu belum dikira korupsi pihak di luar kerajaan. Untuk dapat perhatian dan publisiti, artis terpaksa membayar sejumlah wang, contohnya. Cetak rompak masa dahulu, muat turun haram masa kini.

Semakin dalam akar korupsi, semakin sukar untuk ditebang. Jika anda tahu ia berleluasa dalam industri muzik, cantaslah segera. Kita tidak mahu korupsi merosakkan seni. Cukuplah dengan masalah kekurangan penghargaan seni dalam kalangan rakyat dan pemerintah.

Menutup coretan ini, saya punya harapan dan impian yang sama dengan Orkes A. Hizadin. Saya mahu dunia ini bebas korupsi walaupun ia utopia yang jauh dari gapaian. Jika ia mustahil, doa kami:
“Harapnya orang yang korup akan dapat kesudahan yang paling memalukan.”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN