KPT siasat dakwaan pelajar UM dilarang ambil peperiksaan kerana belum divaksin - Utusan Malaysia

KPT siasat dakwaan pelajar UM dilarang ambil peperiksaan kerana belum divaksin

-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi akan menjalankan siasatan segera berhubung tindakan Universiti Malaya (UM) yang didakwa menghalang pelajar belum menerima vaksin daripada menyertai aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta peperiksaan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, beliau sudah meminta Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Husaini Omar menjalankan siasatan lanjut terhadap isu itu dan mengambil tindakan berkaitan.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius tindakan UM itu dan mengingatkan pihak universiti supaya tidak membuat prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan berkaitan Covid-19 secara terasing daripada keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Adalah diingatkan bahawa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) masih berjalan dan belum mencakupi seluruh rakyat Malaysia termasuk pelajar universiti.

“Kita menyokong penuh usaha menggalakkan mahasiswa mendaftar untuk menerima vaksin, namun mengingatkan universiti-universiti bahawa mereka tidak dibenarkan membuat SOP dan peraturan berkaitan Covid-19 secara terasing dari keputusan MKN,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, pihak kementerian juga ingin menegaskan kebenaran menjalani program akademik dan latihan adalah tertakluk kepada kebenaran dan SOP yang dikeluarkan kementerian dan MKN.

Noraini berkata, MKN tidak mempunyai peraturan berbeza antara mereka telah divaksin dengan yang belum divaksin.

“Justeru semua universiti seharusnya memastikan kebajikan pelajar terjaga terutamanya PdP dan juga proses penilaian agar pelajar tidak ketinggalan dalam tempoh pandemik Covid-19 bagi memastikan kelangsungan akademik,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pelajar UM mendakwa dilarang menduduki peperiksaan kelayakan kerana belum menerima suntikan vaksin Covid-19.

UM pada masa sama sedang meneliti dakwaan seorang pelajar jurusan perubatan dihalang pihak pentadbiran universiti daripada menduduki peperiksaan kerana belum menerima suntikan vaksin Covid-19.

UM dalam satu kenyataaan memaklumkan, pihak pengurusan universiti memandang serius dakwaan itu dan sedang meneliti perkara itu secara lebih terperinci.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya