SYDNEY: Ekonomi Australia pulih dengan pesat pada suku pertama tahun ini disebabkan perkembangan perbelanjaan pengguna dan perniagaan, sekali gus membawa Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara itu kembali ke tahap lebih baik berbanding tempoh sebelum pandemik tahun lalu.
Data Biro Statistik Australia (ABS) menunjukkan, ekonomi negara itu berkembang 1.8 peratus dalam tempoh tiga bulan sehingga Mac.
Pengguna dijangka terus merancakkan pertumbuhan dengan data perbelanjaan kad kredit dan debit oleh bank-bank besar serta angka rasmi penjualan runcit, pekerjaan dan aktiviti bangunan yang tetap kuat.
Bank Rizab Australia (RBA) menurunkan kadar faedah sebanyak tiga kali tahun lalu ke paras terendah 0.1 peratus dan melancarkan program pelonggaran kuantitatif yang pertama kali dilakukan.
Kerajaan turut mengumumkan skim subsidi upah supaya dapat mengekalkan pekerjaan rakyat sementara bank menangguhkan pembayaran pinjaman perumahan dan mengurangkan kadar pinjaman untuk membantu meningkatkan pertumbuhan kredit.
Sebelum ini, ahli ekonomi dalam tinjauan Reuters telah meramalkan kenaikan 1.5 peratus pada suku pertama tahun ini berikutan kenaikan 3.2 peratus yang pada suku keempat lalu.
Pertumbuhan suku tahunan yang terus mengukuh membantu pengeluaran tahunan meningkat 1.1 peratus kepada AS$408.05 bilion (RM1.7 trilion), perubahan besar daripada tahap kemelesetan yang rendah pada AS$363.27 bilion (RM1.5 trilion) tahun lalu.
Perkembangan suku pertama didorong oleh pelaburan swasta yang menyumbang 0.9 mata peratusan untuk pertumbuhan dengan pelaburan mesin dan peralatan mencatat kenaikan suku terkuatnya sejak Disember 2009.
Peningkatan aktiviti kediaman juga membantu di samping perbelanjaan isi rumah tumbuh lebih 0.7 mata. – AGENSI