TEHRAN: Kapal yang terbesar dalam angkatan laut Iran terbakar lalu tenggelam ketika menjalani latihan di Teluk Oman berhampiran laluan di perairan perairan yang banyak dilalui oleh kapal tangki.
Memetik laporan The Sun, kebakaran terjadi di kapal Kharg ketika misi latihan sekitar pukul 2.25 pagi tempatan hari ini.
Televisyen kerajaan melaporkan bahwa kapal perang tersebut tenggelam dekat pelabuhan Jask yang terletak di Teluk Oman.
“Semua usaha untuk menyelamatkan kapal itu tidak berhasil dan ia tenggelam,” lapor agensi berita Fars.
Punca kebakaran masih belum diketahui dan semua anak kapal berjaya diselamatkan dari kapal angkatan laut terbesar negara tersebut.
Gambar yang tular di media sosial Iran menunjukkan anak-anak kapal mengenakan jaket pelampung ketika mereka meninggalkan kapal.
Pasukan penyelamat dilaporkan menghabiskan waktu sekitar 20 jam untuk memadamkan api. Namun ia sudah marak ke bahagian lain kapal.
Insiden itu terjadi di Teluk Oman, di laluan yang terhubung ke Selat Hormuz yang mana kira-kira satu perlima minyak dunia melaluinya.
Kebakaran tersebut terjadi kira-kira seminggu setelah berlakunya letupan besar di kilang membuat dron di Isfahan.
‘Ledakan di Isfahan, mencederakan sembilan orang, dan berlaku hanya beberapa hari selepas Israel menuduh Tehran memberikan sokongan kepada Hamas ketika konflik baru-baru ini di Gaza.
Benjamin Netanyahu menuduh Iran membekalkan senjata kepada pejuang Hamas.
Kapal Kharg dibina di United Kingdom pada tahun 1977 dan menyertai angkatan laut Iran pada tahun 1984 setelah Revolusi Islam 1979.