Kapal tangki bersauh tanpa kebenaran ditahan, nakhoda lakukan provokasi - Utusan Malaysia

Kapal tangki bersauh tanpa kebenaran ditahan, nakhoda lakukan provokasi

MARITIM Malaysia menahan sebuah kapal tangki yang yang berdaftar di Hong Kong selepas disyaki bersauh tanpa kebenaran di kedudukan kira-kira 105 kilometer barat daya Pulau Kendi, Pulau Pinang pukul 12 tengah hari semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri menahan sebuah kapal tangki yang disyaki bersauh tanpa kebenaran di perairan Pulau Pinang semalam.

Pengarahnya, Kapten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, penahanan kapal tangki New Laurel yang berdaftar di Hong Kong itu hasil maklumat pengesanan yang diterima daripada pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) semasa menjalankan rondaan udara di sepanjang perairan Selat Melaka.

Katanya, sebaik sahaja maklumat diterima Kapal Maritim (KM) Burau yang ketika itu melaksanakan rondaan Op Pertiwi diarahkan ke lokasi di kedudukan kira-kira 105 kilometer barat daya Pulau Kendi pukul 12 tengah hari.

“Semasa pemeriksaan, nakhoda kapal enggan memberikan kerjasama malah cuba melengah-lengahkan pemeriksaan serta melakukan provokasi ketika cuba diperiksa dan ditahan.

“Kapal tersebut dikatakan dalam perjalanan dari Terminal Fateh, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menuju ke Singapura,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut dikendalikan 27 kru termasuk nakhoda terdiri daripada warga Korea Selatan, Filipina dan China.

“Kesemuanya memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, namun nakhoda gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh serta gagal memaklumkan ketibaan di perairan Malaysia.

“Nakhoda dan dua kru kemudiannya dibawa ke ibu pejabat Maritim Malaysia negeri untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tambahnya, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 491B(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kes ini juga disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Abd. Razak berkata, pihaknya menasihatkan semua pemilik kapal, nakhoda serta ejen perkapalan memastikan segala prosedur dan peraturan dipatuhi sebelum memasuki dan bersauh di perairan Malaysia serta memberikan kerjasama penuh jika diminta untuk diperiksa.

“Tindakan secara ‘force boarding’ menggunakan helikopter akan dilakukan sekiranya pihak terbabit enggan memberi kerjasama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN