Tidak perlu mentafsir dan bermukadimah panjang bagi memperkenalkan sosok tersohor ini. Keterampilan yang dipamerkan sudah cukup menggambarkan bakat yang dimiliki. Bukan sekadar pujian kosong, namun itulah kenyataan. Segalanya sudah termaktub melalui ratusan karya yang dipersembahkannya selama ini.
Memahat nama Iklim sebagai satu jenama kukuh dalam industri adalah asas perjuangannya. Tidak hanya bertindak sebagai tulang belakang, kesungguhannya dilihat tepat dan berbaloi. Ibarat petani yang sekian lama menyemai benih dan akhirnya gembira menuai hasil tanaman.
Begitulah nostalgianya figura kreatif bernama Umarul Mahdzar Embong, 56 anak kelahiran Bukit Besi, Dungun, Terengganu ini. Selain dikenali sebagai pemain gitar utama kumpulan Iklim, dia juga merupakan seorang pelukis, penerbit album, pencipta lagu serta penulis lirik yang disegani.
Bersama Khabar Legenda, dia menyingkap tirai silam, membicarakan perjalanan kariernya dari dahulu sehingga kini.
“Sejak bangku sekolah rendah lagi saya memang aktif dalam bidang seni terutamanya lukisan. Saya pernah mewakili sekolah sehinggalah ke peringkat kebangsaan. Namun sebaik menuntut di sekolah menegah timbul pula keinginan untuk belajar bermain gitar. Pemuzik, Adi Jagat merupakan individu yang banyak mengajar saya ketika itu.
“Selain suka mencuba sesuatu yang baru, saya juga sering mencabar diri lakukan perkara di luar kotak. Contohnya sebelum belajar bermain gitar, saya terlebih dahulu belajar bermain dekoder, dram dan sebagainya. Waktu itu apa sahaja instrument muzik pasti saya nak cuba,” katanya membuka perbualan.
Walau aktif bermain muzik namun bakat melukis yang ada pada dirinya tidak pernah ditinggalkan. Sehingga hari ini dia masih aktif dan sering mengabdikan karyanya dalam setiap galeri serta pameran di serata negeri bersama rakan-rakan pelukis tanah air.
Tidak meletakkan harga tertentu dalam setiap hasil karyanya, namun nilainya haruslah berbaloi dengan kualiti yang diberi. Kerana itulah karya landskap dan realism medium cat minyak yang dihasilkan sering menerima tempahan secara terus daripada pelanggan tempatan mahupun luar negara.
“Lukisan adalah karya jujur yang dipersembahkan dari jiwa si pelukis. Mereka yang minat sahaja tahu nilai dan mutu sesebuah karya itu. Sebab itu kebiasaannya setiap pelukis ini ada pelanggan tetapnya,” katanya.
Bercerita tentang perjalanan seninya sehingga dia dikenali, bekas penuntut Sekolah Menengah Panji Alam, Kuala Terangganu ini tertawa kecil. Menurutnya tidak mudah untuk berada ke tahap hari ini jika tiada usaha yang jitu. Rintangan dan dugaan menjadi asam garam kehidupan demi mengejar cita-cita terpendam.
Alunan lagu-lagu yang berkumandang di corong radio sering mempengaruhinya. Inspirasinya semakin memuncak apabila ada individu di sekelilingnya mula menempa nama. Percaya bakat yang dimiliki mampu merubah apa yang dihajati, lantas dia mencurahkan idea dan kreativiti dalam mencipta lagu.
“Sebaik sahaja syarikat rakaman Life Records mencari lagu-lagu baru, saya tidak melepaskan peluang dan terus berjumpa dengan komposer Allahyarham A.Ali yang merupakan Pegawai A&R di situ. Saya perdengarkan kepadanya 15 ke 20 lagu. Tapi kualitinya memang teruklah sebab hanya rakam terus ke radio sahaja.
“Arwah A.Ali ni seorang yang berterus terang. Mana lagu yang okey, dia kata okey. Mana yang tidak, dia kata tidak. Akhirnya dia setuju ambil beberapa lagu ciptaan saya dan berikan kepada penyanyi Jatt yang ketika itu ingin menerbitkan album solo.
“Selepas itu dia bantu saya berikan lagu-lagu terbaru kepada syarikat rakaman Polygram yang ketika itu banyak dinaungi artis-artis ternama seperti Freedo dan Chris Vadham,” katanya.
Melihat karyanya dipandang tinggi, semangatnya semakin berkobar-kobar untuk memberikan yang lebih terbaik. Dia terus mengintai peluang belajar selok belok menerbitkan album dengan komposer terkenal, Allahyarham Nasir P.Ramlee yang ketika itu bernaung di syarikat rakaman Mutiara Records.
“Ketika demam Battle Of The Bands melanda negara, arwah Nasir minta saya cari band-band baru untuk buat album kompilasi. Saya berjaya bawa kumpulan Medicine, Fatayuda, The Kids dan Midnight yang merupakan kumpulan muzik saya di Terengganu.
“Selesai tugas saya pulang semula ke kampung dan bermain muzik di sebuah kelab di Kuala Terengganu. Ketika itulah anggota The Kids iaitu Kama dan Mohalim datang berjumpa dan menjemput saya untuk menubuhkan sebuah kumpulan baru.” katanya.
Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, pelawaan tersebut lantas dipersetujui. Bermula dari situlah dia diperkenalkan dengan Saleem oleh rakan-rakannya. Kagum dengan bakat yang dimiliki Saleem, mereka akhirnya bergabung dan menubuhkan Iklim.
Album pertama Iklim adalah segalanya
Berdasarkan pengalaman lalu, dia tidak menunggu lama untuk menyiapkan material terbaru. Baginya itu adalah waktu terbaik untuk mereka muncul di pentas arus perdana memandangkan banyak syarikat rakaman sedang berlumba-lumba mencari artis baharu untuk label mereka.
“Agak kecewa kerana demo tape kami langsung tidak diterima oleh syarikat rakaman. Antara sebabnya kualiti demo yang kami hantar langsung tiada kualiti. Imej waktu itu pula memang ‘ke laut’, Iyalah, kami ini orang kampung, bergaya pun langsung tak pandai.
“Kami ibaratnya seperti orang dari laut naik ke darat, lepas itu terus ambil gambar. Itu tak campur lagi bila bercakap, jawapan dan slang yang keluar dari mulut semuanya ke laut,” katanya tertawa.
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Syarikat Rakaman SCS akhirnya sudi menerima mereka sebagai artis rakaman. Terbukti album pertama Iklim, Satu Kesan Abadi berjaya menutup mulut sesetengah pihak yang memandang rendah kepada sebelum ini. Lagu-lagu mereka bukan sahaja hits dan diminati, malah berjaya menggondol beberapa anugerah dalam industri hiburan ketika itu.
“Kepuasan itu lahir setelah kami lakukan sepenuh jiwa dan raga untuk album ini. Kami tidak gunakan pemuzik undangan untuk rakaman, semuanya kami buat sendiri. Kami pertaruhkan segala usaha dan idea untuk karya yang bakal dilahirkan. Lagu-lagu yang dipilih juga mesti mampu menyerap jiwa pendengar. “Album pertama Iklim adalah segalanya buat saya. Iklim lahir bukan daripada ‘satu kepala’, malah idea yang dikongsi bersama. Vokal arwah Saleem tidak pernah mengecewakan.
Ditebak pertanyaan tentang penjenamaan semula Iklim yang diterajui vokalis baru, Azmani, dia percaya kumpulan ini tetap ada peminat tersendiri.
“Kumpulan Iklim ini ibaratnya seperti sebuah wau besar yang cantik dan melayang-layang diudara. Coraknya masih sama, yang bertukar hanyalah terajunya. Selagi ada angin bertiup dan pemainnya, maka selagi itulah dia terbang di udara mengikut arah angin yang membawanya,” katanya mengakhiri perbualan.









