Jangan ‘sapu ke bawah karpet’, Serba Dinamik perlu cari jalan penyelesaian - Utusan Malaysia

Jangan ‘sapu ke bawah karpet’, Serba Dinamik perlu cari jalan penyelesaian

SERBA DINAMIK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Serba Dinamik Holdings Berhad perlu segera mencari jalan penyelesaian terbaik kerana masalah dalaman yang melanda syarikat itu dikhuatiri memberi impak negatif terhadap rakyat memandangkan tiga agensi permodalan utama negara merupakan pemegang saham terbesar syarikat tersebut.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, syarikat yang berpengalaman luas dalam sektor teknologi, pembuatan serta minyak dan gas itu perlu mengikut tadbir urus yang baik dan memberi penjelasan terhadap isu semasa syarikat.

“Syarikat perlu menambah baik sebarang kekurangan dan tidak mengambil jalan singkat seperti sapu ke bawah karpet sebarang masalah yang melanda.

“Ini kerana, kesannya amat besar dan boleh memberi impak negatif kepada institusi pengurusan dana negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang merupakan pemegang saham terbesar syarikat.

“Perkara ini amat besar kerana institusi tersebut bertanggungjawab menguruskan wang rakyat, jadi sekiranya isu membelenggu Serba Dinamik semakin meruncing, sudah tentu kesannya akan dirasai oleh rakyat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Syarikat tersenarai itu baru-baru ini digemparkan dengan masalah dapatan audit yang dijalankan oleh KPMG, berikutan transaksi perniagaan yang meragukan dan tidak dapat disahkan bernilai RM3.5 billion melibatkan 11 pelanggan mereka.

Pemegang saham kedua terbesar, Datuk Abdul Kadier Sahib kemudian mencadangkan Mesyuarat Agung Tergempar (EGM) dijalankan untuk menukar syarikat pengauditan KPMG kepada BDO PLT.

Cadangan itu bagaimanapun dibatalkan dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia lewat malam kelmarin, setelah beliau mempertimbangkan dengan sewajarnya kebimbangan yang dibangkitkan pemegang saham dan pihak berkepentingan.

Jelas Baharom, tindakan menukar syarikat pengauditan itu dilihat mirip kepada langkah yang diambil dalam skandal 1MDB yang pernah menggemparkan negara sebelum ini.

“Ketirisan berita ini telah menyebabkan harga saham Serba Dinamik menurun dan tergelincir di pasaran. Walaupun berlaku pembelian di pasaran terbuka oleh Abdul Kadier dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Dr. Mohd. Karim Abdullah, ia sudah terlambat kerana penggelinciran terus berlaku.

“Rakyat juga agak gusar sekiranya kepentingan mereka melalui institusi pengurusan dana terpalit dengan salah laku kerana semestinya kita tidak mahu menyaksikan episod 1MDB 2.0 menerusi Serba Dinamik,” ujarnya.

Kelmarin, PNB dan KWSP masing-masing sudah bersuara mengenai kebimbangan mereka terhadap isu ini manakala KWAP sudah mula melupuskan kepentingannya dalam syarikat tersebut sejak Selasa.

KWAP dilaporkan sudah menjual 0.7 peratus kepentingan atau 26.03 juta saham dalam pasaran terbuka menjadikan pegangannya berkurangan kepada 4.53 peratus berbanding 5.23 peratus sebelum ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.