'Jajaran baharu UMNO? Itu kerja orang cuba lemahkan parti' - Utusan Malaysia

‘Jajaran baharu UMNO? Itu kerja orang cuba lemahkan parti’

AZLAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Jajaran baharu antara UMNO dengan PKR dan DAP tidak akan berlaku dengan polemik tersebut hanya dimainkan pihak tertentu bagi memecahbelahkan parti.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Azlan Man berkata, pendirian UMNO jelas sebagaimana yang telah diputuskan Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini iaitu ‘No DAP, No Anwar, No Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)’.

Malah kata Menteri Besar itu, UMNO sendiri langsung tidak pernah membincangkan soal jajaran baharu bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP, sebaliknya fokus adalah dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tanpa kerjasama parti terbabit.

“Tidak ada jajaran baharu, UMNO sangat jelas mengenai keputusan Majlis Tertinggi parti sebelum ini ‘No Bersatu, No Anwar, No DAP’ dalam PRU-15.

“Jajaran baharu itu hanyalah kerja orang yang cuba untuk melemah dan memecahbelahkan parti. Kita percaya ia adalah usaha yang dilakukan musuh untuk menumbangkan kita,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Ahli Majlis Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim dilaporkan berkata, usaha menyokong Anwar untuk menjadi calon Perdana Menteri masih diteruskan sehingga hari ini.

Dedah Shahidan, usaha menyokong Presiden PKR masih diteruskan sehingga 7 Jun lalu dan ia dijalankan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Tegas Ahli Parlimen Arau itu, tindakan Ahmad Zahid itu jelas melanggar keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 untuk tidak bekerjasama dengan PKR dan DAP.

Sementara itu, Azlan mengesa ahli parti itu agar jangan sesekali mudah percaya dengan dakwaan kononnya UMNO mahu bekerjasama dengan PKR dan DAP.

“Jangan kita percaya akan usaha terbabit kerana ia memang dilakukan oleh musuh parti untuk memecahbelahkan kesepaduan yang kita bina selama ini,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Kangar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya