PUTRAJAYA: Pembentukan jajaran baharu UMNO bersama Pakatan Harapan (PH) sama ada boleh berlaku dalam tempoh terdekat atau sebaliknya, bergantung kepada keputusan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Ahli Parlimen PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, Presiden UMNO itu boleh memainkan peranan untuk melunaskan segera kerangka dan masterplan yang dirancang bagi membantu menyelamatkan negara.
Beliau berkata, Ahmad Zahid boleh membuat keputusan menggunakan Majlis Tertinggi (MT) untuk meminta ahli-ahli Parlimen UMNO keluar dari kerajaan sekiranya tuntutan beliau kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar sidang Parlimen dipanggil dalam tempoh 14 hari tidak dipenuhi.
“Ahmad Zahid boleh mengambil peranan itu. Bagaimanapun saya tidak boleh mencampuri urusan UMNO, tapi saya merasai kebertanggungjawaban itu perlu digalas semua pihak.
“Jadi (selepas Ahmad Zahid membuat keputusan) maka tidak ada masalah jajaran baharu boleh dibentuk demi untuk negara dan rakyat. Terpulang kepada Ahmad Zahid untuk membuat keputusan, semua bergantung kepada beliau. Kita sentiasa bersedia bila-bila masa saja, tidak sabar untuk bersama UMNO atau tidak kira siapa sahaja atau mana-mana parti sekali pun termasuk parti bebas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdullah Sani berkata, jika UMNO menarik diri dari kerajaan Perikatan Nasional (PN), secara automatik kerajaan sedia ada akan runtuh.
Beliau berkata, Ahmad Zahid juga pada peringkat awal telah menzahirkan bahawa beliau tidak boleh menghalang mana-mana ahli Parlimen UMNO untuk menyokong sesiapa.
“Sekiranya ahli-ahli Parlimen UMNO menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, Alhamdulillah. Kita mengharapkan sedemikian. Apabila Ahmad Zahid menyebut jajaran baharu yang diperkenalkannya, tentulah langkah mengkiblatkan kepada negara ini dibina semua dan menyelamatkan negara.
“Jadi tidak ada masalah kerana dalam konteks menyokong itu bukan bermakna membeli orang dengan jawatan-jawatan dan sebagainya. Sudah memadai ia diberikan keinsafan kepada ahli Parlimen bahawa negara ini sudah berada dalam keadaan kerosakan luar biasa dan tidak boleh lagi diselamatkan kalau diteruskan PN memerintah,” katanya. – UTUSAN ONLINE